“Cintailah Allah, Rumah Tangga Akan Selamat”- Ustaz Ahmad Dusuki Titip Pesanan, Minta Pasangan Berkahwin Jangan Sebar Aib Di Media Sosial

Pendakwah terkenal, Ustaz Ahmad Dusuki menitipkan pesanan agar pasangan suami isteri menjaga keselamatan dan kebahagiaan rumah tangga sekaligus  tidak membuka aib pasangan masing-masing apatah lagi umat Islam kini berada dibulan Ramadan.

“Khabarkan kepada semua mukmin dan mukminah, Ramadan bukan bulan perceraian dan melakukan dosa, Ramadan Allah jadikan bulan keampunan dan maghfirahnya yang terlalu luas.

“Khabarkan lagi kepada para suami, bawa lah rumah tangga kalian ke Syurga Allah, bukan menghancur dan memusnahkan rumah tangga dengan kemaksiatan yang menghilangkan keberkatan.

“Khabarkan kepada setiap isteri mukminah, tutuplah aib rumah tangga kalian dari terbuka dan di dedah di kalangan masyarakat awam. Allah membuka jalan perdamaian dengan kedua-duanya bertaubat dan kembali kepada Allah. Cintailah Allah, rumah tangga kita selamat,” ulasnya.

Perkara itu dikongsi Ahmad Dusuki menerusi hantaran yang dimuat naik di Instagram miliknya.

 

Berdasarkan hantaran tersebut, Ahmad Dusuki turut berkongsi tangkap layar laporan berkaitan kes perceraian pasangan pelakon Bella Astillah dan Aliff Aziz yang berlangsung di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan, Jalan Duta, Kuala Lumpur pada Rabu.

Menjengah ke ruangan balas hantaran berkenaan, rata-rata warganet bersetuju dengan pendapat yang diberikan Ahmad Dusuki, namun ada juga yang tampil memberikan pandangan mereka berhubung kes rumah tangga pasangan tersebut.

“11 kali curang ustaz …curang masuk rumah lagi. Allah pun suruh sayang diri sendiri sebelum jadi gila, baiklah berpisah.

“Kalau saya anak saya Bella ni saya suruh cerai dari saya tengok. Mental anak saya tersiksa tak pasal gila, dah gila baru dilepaskan?

“Maaf ustaz, bukan tak setuju kata-kata ustaz. Apa yang perlu dipertahankan lagi dah 11 kali curang, dengan bukti. Dia keluar atau dia nak cerai bukan haram kan? Kalau rumah tangga memberi kemudaratan,” komen netizen.

Salma Syahbuddin