Categories: HiburanTrending

‘Cover’ Lagu Jangan Mati Rasa Itu, Nyanyian Mila Jirin Ubati Rindu Peminat- “Merdunya, Please Buat Comeback!”

Penyanyi dan usahawan, Mila Jirin tampil meraih pujian netizen setelah videonya mendendangkan lagu Jangan Mati Rasa Itu nyanyian asal penyanyi sensasi, Aina Abdul tular di media sosial.

Menerusi perkongsian di laman Instagram miliknya, Mila telah menyampaikan lagu tersebut dengan penuh penghayatan sehingga membuatkan pendengar terpaku dengan kemerduan suaranya.

Malah, Mila turut mengakui bahawa karya ciptaan sepenuhnya Aina yang bakal berentap di pentas Anugerah Juara Lagu ke-38 (AJL38) itu merupakan lagu kegemarannya.

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen meluahkan rasa kagum dan rasa terubat rindu di hati lantaran sudah lama merindui suara juara rancangan realiti televisyen, Akademi Fantasia musim kelima (AF5) itu.

Sementara itu, terdapat juga warganet yang menyifatkan Mila sebagai artis yang serba boleh serta memberikan inspirasi kepada orang ramai.

Mana tidaknya, selain memiliki suara yang lunak dan berperwatakan menarik, Mila juga disanjung ramai ekoran perniagaan Bizmilla Catering yang diusahakan mendapat sambutan yang amat menggalakkan.

Terdahulu, Mila pernah menceburi pelbagai cabang bisnes demi kelangsungan perniagaan antaranya menjual kek, Nasi Arab, pelitup muka dan produk kosmetik.

Dalam pada itu, segelintir peminatnya meminta penyandang Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2007 Kategori Artis Baru Wanita Popular itu untuk menyanyikan lagu Masing-Masing oleh Ernie Zakri.

Berdasarkan pemerhatian XTRA, ramai peminat yang tidak sabar serta teruja untuk menantikan kemunculan semula atau ‘comeback’ daripada Mila setelah sekian lama menyepi tanpa sebarang single atau album.

Kehadiran Mila yang boleh dilabel sebagai penyanyi yang masih ‘berbisa’ sudah pastinya bakal memeriahkan industri muzik tanah air.

Syamir Shafie