Cukup-Cukuplah Kontroversi, Raja Azmi Tak Mahu Lagi…

Seiring dengan peningkatan usia bakal menjengah 60 tahun pada Jun ini, penerbit Raja Azmi Raja Sulaiman tidak mahu lagi dikaitkan dengan isu kontroversi.

“Pada usia ini saya mahu hidup tenang dan fokus pada dunia seni tanpa dikaitkan dengan isu-isu atau kontroversi lalu.

“Ada peluang untuk berlakon, saya akan berlakon, cuma sekali itu saja pernah diberi peluang mengarah filem Enjin No 9 dua tahun lalu,” katanya.

Untuk itu, beliau berharap tiada kontroversi panas muncul sebaik saja penggambaran filem terbaru terbitan syarikatnya, Akid Production bersama North Star Prodigy Pictures Sdn Bhd bermula pada 15 April ini.

Katanya, filem berjudul Jerangkung Dalam Almari adalah hasil cetusan idea menantunya, pengarah Shadan Hashim.

“Shadan tiba-tiba berikan skrip kepada saya tahun lepas dan tanya sama ada menarik untuk diterbitkan atau tidak.

“Apabila baca, saya suka sebab memang sukakan genre seram sejak dari zaman remaja,” katanya.

Raja Azmi berkata, pada awal Shadan cuba untuk menerbitkan filem itu sendiri namun tidak berjaya sehinggalah Raja Azmi sendiri menawarkan diri.

Lebih dipermudahkan apabila North Star Prodigy Pictures pula bersetuju untuk menerbitkan filem itu bersama-sama.

Filem menelan belanja RM800,000 itu akan menampilkan pelakon Sofia Albarakbah, Wan Hanafi Su, Hasnol Rahmat dan Adi Putra.

Oleh: Endy Ashari

SGMS Faida