“Dah Melangkah Sebelah Kaki, Teruskan” – Norman Hakim Tak Halang Anak Ceburi Bidang Seni

Pelakon Norman Hakim tidak menghalang anak-anaknya untuk menceburi industri seni.

Menurut Norman, dia menganggap perkara itu sebagai satu pendedahan buat mereka selain dapat menimba pengalaman baru.

Pelakon Melastik Ke Hatimu ini turut memaklumkan, Danish Hakim dan Marissa Dania mendapat tawaran lakonan.

Baru-baru ini, Danish tersenarai sebagai peserta untuk program TV3, Fit For Action bagi pencarian bakat baru dalam lakonan.

“Danish baru-baru ini masuk untuk program Fit For Action dan itu pun termasuk tanpa sengaja sebab dia masuk uji bakat lepas tu terus dapat. Alhamdulillah.

“Saya kata dah melangkah sebelah kaki, teruskan untuk melalui pengalaman. Apa yang penting, dia melalui pengalaman tu,” katanya ketika ditemui di majlis pelancaran dan pelantikan sebagai duta produk baru, Ecolite.

Tambahnya, anak perempuannya sudah mempunyai perancangan untuk melibatkan diri dalam dunia seni apabila selesai menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Macam Marissa pun dia akan menghadapi SPM tahun ni, adalah perancangan-perancangan yang dia dah disusun atur terutama dalam bidang kecantikan.

“Pada saya ia satu pendedahan. Kita tak menghalang sebab kita tahu ini satu pendedahan untuk mereka belajar,” ujarnya.

Maya Basir