Dedah 1 Dekad Peluk Islam, Marcell Ambil Peluang Dalami Ilmu Agama Saat Pandemik

Penyanyi Indonesia Marcell Siahaan mendedahkan dirinya sudah memeluk Islam sejak tahun 2012 dan memilih untuk mendalami ilmu agama sewaktu dunia berdepan dengan pandemik, dua tahun lalu.

Menurut Marcell, dia banyak menghabiskan masa dengan bermuhasabah diri untuk menjadi insan yang lebih baik sambil mencari pelbagai alternatif untuk mengekalkan kerjaya seninya.

“Jujur, kita semua tertekan ketika melalui fasa pandemik. Banyak industri terkesan hanya beberapa bulan pertama sahaja yang ‘survive’. Kemudian banyak acara yang perlu ditunda.

“Jadi, saya mula mencari sumber pendapatan menerusi dunia digital, dan mula sedar tentang pentingnya untuk berkomunikasi dengan diri sendiri serta menghargai diri untuk menjadi lebih baik.

“Malah, saya sedar yang saya perlu berhenti ‘overthink’ dan belajar menyerahkan hidup ini sepenuhnya kepada Tuhan. Bersyukur dengan setiap nikmat, pada masa sama, terus mencari peluang untuk menambah ilmu agama,” katanya.

Menyedari perkara itu, Marcell juga menyatakan perubahan tersebut turut memulihkan komunikasinya bersama keluarga dan orang sekelilingnya.

Meskipun sudah memeluk Islam selama satu dekad, penyanyi itu juga menyatakan ada segelintir pihak yang menganggap dirinya baru sahaja menganut agama suci itu.

Namun, pelantun lagu Firasat itu menyifatkan penghijrahan adalah sebahagian daripada privasi dan lebih selesa berkongsi perkara tersebut dengan orang terdekat sahaja.

“Untuk berkongsi perkara ini tidak mudah. Lebih-lebih lagi sebelum ini saya pernah belajar banyak agama dan kepercayaan.

“Tidak semua orang boleh terima kerana banyak yang dari mereka bila berbincang soal spiritual mereka bertanya tapi mempunyai ekspektasi yang berlainan dalam diri.

“Saya sudah memeluk Islam pada tahun 2012. Saya tak suka bercerita tentang perkara itu  kerana bagi saya itu adalah privasi. Tapi ada orang-orang tertentu yang tahu. Malah, kawan-kawan saya di Malaysia pun ada yang mengetahuinya dan mendoakan saya untuk kekal istiqamah.

“Mungkin bahasa paling kasarnya, saya tidak mencari wang dari isu agama. Cukup saya hanya menjadi seorang penyanyi, lebih baik di situ,” katanya.

Marcell bakal mengadakan konsert di Zepp Kuala Lumpur anjuran The Jay Events & Media, pada 9 Disember ini.

ARTIKEL BERKAITAN: 2 Dekad Dalam Industri, Marcell Bakal Adakan Konsert Di Malaysia Disember Ini!

ARTIKEL BERKAITAN: Teruja Anak Warisi Bakat Ceburi Bidang Muzik, Marcell Sedia Turunkan Ilmu

Fatin Nurain