Categories: HiburanSelebriti

Dedah Ada Pihak Cuba Nak ‘Batu Api’, Shukri Yahaya Akui Bersalah Dengan Isteri Lakonkan Babak Panas

Baru-baru ini, tular adegan babak didakwa berunsur ‘soft porn’ yang memaparkan pelakon Shukri Yahaya dan aktres Alya Iman di dalam sebuah drama yang berjudul Layang-Layang Perkahwinan.

Menurut Shukri, dia mengakui dirinya rasa bersalah dan terus memaklumkan kepada isterinya, Tya Adnan selepas selesai melakonkan babak tersebut.

“Nak kata isteri saya okay itu tidaklah dan selepas saya buat adegan itu saya sendiri macam ‘Alamak, mesti isteri aku akan terasa ni buat babak ini’. Saya memang rasa bersalah.

“Cuma lepas saya lakonkan babak itu saya ada cakap dekat dia, ‘Sayang hari itu saya ada buat satu babak yang saya rasa bila ditayangkan nanti akan jadi buah mulut orang’.

“Saya memang dah maklumkan pada dia awal-awal lagipun itu adalah hari pertama bagi saya untuk mulakan penggambaran.

“Tapi Alhamdulillah saya dan isteri okay sahaja cuma selepas ini saya akan lebih berhati-hati untuk menjaga sensitiviti orang ramai dan isteri saya,” ujarnya semasa ditemui di sidang media drama Layang-Layang Perkahwinan di Restoran Rebung, baru-baru ini.

Dalam pada itu, bapa kepada dua orang anak ini mendedahkan Tya ada menerima mesej-mesej daripada netizen potongan adegan video tersebut namun isterinya memilih untuk tidak melihat.

“Ada juga segelintir netizen yang cuba menjadi batu api dengan forward video kepada isteri saya tetapi dia memilih untuk positif dan memahami kerjaya saya.

“Isteri saya ini lebih memilih untuk tidak menonton lakonan saya di televisyen,” katanya.

Selain itu, Shukri mengambil pendekatan untuk selalu berterus terang dengan isterinya demi mengelakkan masalah melibatkan hal rumah tangganya.

“Saya selalu berkomunikasi dan banyak bercerita dengan isteri saya. Contoh, kalau saya balik dari lokasi penggambaran saya akan maklumkan hari ini shooting dengan siapa dan sebagainya.

“Kadang-kadang itu, saya tangkap gambar saya tengah shooting untuk berikan update pada dia dan saya akan selalu pastikan dia tahu apa yang saya buat,” jelasnya.

Terdahulu, tular klip video daripada drama tersebut yang memaparkan watak Shukri Yahaya sedang mandi sebelum didatangi watak Alya Iman yang masuk ke dalam bilik air.

Shukri yang tidak mengenakan baju kemudiannya bertindak menarik tangan Alya dan aktres tersebut memberikan senyuman.

Potongan video tersebut telah meraih perhatian ramai yang dilihat mengecam adegan dalam drama tersebut.

Malah, Shukri telah pun membuat permohonan maaf atas kekhilafannya itu.

ARTIKEL BERKAITAN: Didakwa Lakonkan Aksi Berunsur ‘Soft Porn’, Shukri Yahaya Tampil Mohon Maaf – “Saya Terlampau Bersungguh-Sungguh”

Maya Basir