Categories: HiburanSelebriti

Dedah Terima Cadangan Penyelesaian Baru, Aishah Tetap Mahu Lelong Harta Penaja

Penyanyi Datuk Aishah mendedahkan penaja sebuah program realiti televisyen berbayar, Datuk Seri Mohd Amir Mohd Isa ada mencadangkan pembayaran baru untuk menyelesaikan bayaran tanah yang dijanjikan mengikut harga asal iaitu RM300,000.

Menurut Aishah atau nama sebenarnya Wan Aishah Wan Ariffin, dia tidak bersetuju dengan cadangan ahli perniagaan tersebut dan tetap mahu melelong hartanya.

“Selepas saya tunjuk writ penyitaan, dia ada respon melalui peguam dengan satu cadangan pembayaran baru.

“Sebelum ini pun dia tidak membayar mengikut masa yang ditetapkan. Jadi saya tidak menerima cadangan itu,” katanya.

Sebelum ini. pelantun lagu Janji Manismu itu telah menerjah kediaman penaja tersebut bagi tujuan lelongan selepas dua minggu writ penyitaan dikemukakan, pada 23 Ogos lalu.

Aishah turut mendedahkan bahawa Amir telah diisytiharkan muflis dan sedang menuntut bayaran daripada isteri dan anak lelakinya yang juga rakan perniagaannya.

“Saya baru tahu yang dia muflis sewaktu perbicaraan di Mahkamah September lalu. Proses tersebut buang masa. Jadi kami tetap teruskan tuntutan terhadap dua rakan perniagaannya yang juga merupakan isteri dan anak dia,” jelasnya.

Menyedari tindakannya dikecam selepas usahawan itu dikhabarkan diserang angin ahmar, dia enggan berhenti kerana proses ini sudah berlarutan sejak enam tahun lalu.

“Orang kecam saya tapi saya tetap akan usahakan sebab saya dah sampai ke tahap ini. Takkan nak berhenti? Lagipun saya dapat tahu dia diserang strok kira-kira tiga bulan lalu. Kes tuntutan ini dah berlarutan selama enam tahun,” tegasnya.

Terdahulu, Aishah telah dinobatkan sebagai juara dalam sebuah pertandingan realiti stesen televisyen berbayar yang menjanjikannya wang tunai sebanyak RM100,000 dan sebidang tanah lot banglo, piala beserta pakej percutian dan banyak lagi.

Namun, usahawan itu telah memberikan sebidang tanah yang lebih kecil berbanding lot banglo tersebut.

Kes tuntutan tersebut bagaimanapun telah selesai pada September lalu apabila penaja bersetuju dengan cadangan penyelesaian untuk membayar jumlah asal harga tanah yang dijanjikan iaitu RM300,000.

 

Fatin Nurain