“Demi Allah! Benda Tu Berlaku Secara Spontan” –  Tyzo Nafi Dakwaan Sengaja Mahu Jatuhkan DJ Lin

“Memang benda itu tidak sengaja, mungkin Tuhan memberikan saya semangat untuk memberitahu ‘Kak Lin terima kasih atas penganiayaan ini’.

Demikian respons bekas penyampai radio Suria FM, Tyzo Xander susulan kata-kata terakhir yang diucapkannya kepada Pengurus Besar Suria FM, DJ Lin.

Katanya ketika ditemui XTRA, perkataan yang diucapkan itu adalah spontan dan tidak disengajakan.

Malah, dia menolak dakwaan, kononnya dia sengaja mahu menjatuhkan penyampai radio itu.

“Saya tak pandai sangat nak buat sesi siaran langsung (live) dan sebagainya dan kebetulan live tersebut belum ditamatkan sumpah dengan nama Allah SWT.

“Tapi memang benda itu tidak sengaja dan mungkin Tuhan memberikan saya semangat untuk memberitahu ‘Kak Lin terima kasih diatas penganiayaan ini’. Saya tidak sebut pun ‘Terima kasih Suria, tak ada.

“Dekat radio saya sebut yang sangat murni, itu sahaja,” katanya.

Tyzo atau nama penuhnya, Tuah Zolqarnain Idris berkongsi mengenai perkara itu ketika sidang media yang berlangsung di Ruuma, Tropicana City Mall pada Jumaat.

Mengulas lanjut mengenai ucapan terakhirnya terhadap DJ Lin seperti yang tular sebelum ini iaitu ‘terima kasih atas penganiayaan ini’, ayah kepada seorang cahaya mata itu menjelaskan, perkataan itu berlaku secara spontan.

“Itu adalah personal live TikTok dan kebetulan benda tu tak end live. Itu sahaja.

“Benda tu berlaku secara spontan… refleks atas seminggu lebih saya menahan rasa,”jelasnya.

Terdahulu, menerusi kenyataan media, khidmat Tyzo atau nama sebenarnya Tuah Zolqarnain Idris ditamatkan selepas lapan tahun bersama Suria FM.

Pengurus Besar stesen radio berkenaan, Roslinda Abd. Majid atau DJ Lin berkata, keputusan dibuat sebagai langkah merangka strategi dan perancangan baharu bagi 2024.

Salma Syahbuddin