“Ini Adalah Kecaman Terhebat Yang Dilemparkan Dari Tyzo”- DJ Lin

Penyampai radio merangkap Pengurus Besar Suria FM, DJ Lin mengakui dirinya menerima tohmahan yang paling teruk daripada netizen susulan berita penamatan kontrak bekas penyampai stesen radio berkenaan iaitu, Tyzo Xander.

ARTIKEL BERKAITAN: Isu Penamatan Kontrak Tyzo, Ini Penjelasan Rasmi Pihak Suria – “ Dia Mahu Extend Kontrak 6 Bulan Sahaja”

Menurut DJ Lin atau nama sebenarnya Roslina Abdul Majid berkata, dia sama sekali tidak menyalahkan netizen yang mengecamnya susulan isu tular.

“Sejak video viral, banyak cacian dan tohmahan yang saya dapat. Pada saya, saya tak boleh salahkan netizen. Mereka tak tahu apa yang berlaku.

“Apa yang berlaku di sebaliknya itu, tiada siapa yang tahu. Saya tak boleh hukum netizen yang tak tahu apa apa-apa,” katanya.

Dalam pada itu, penyampai radio berusia 48 tahun tersebut memaklumkan,  dirinya sudah lali menerima pelbagai kecaman selepas hampir 25 tahun berkecimpung dalam industri penyiaran.

“25 tahun dalam industri radio, Alhamdulillah saya cemerlang dengan 13 anugerah besar dimenangi.

“Sejak video viral, banyak cacian dan tohmahan yang saya dapat. Saya dah lali dengan kecaman, yang kenal saya tahu saya macam mana.

“Saya juga pernah dikecam oleh bekas bekas penyampai yang ditamatkan kontrak sewaktu di bawah pengurusan saya.

“Tetapi saya bersyukur atas anugerah di mana saya dikurniakan dengan peminat yang sangat setia bersama saya.”

DJ Lin berkongsi perkara mengenai tersebut ketika ditemui pada sidang media memperkenalkan barisan penyampai radio Suria FM yang baharu bertempat di Cybertorium, Menara Star.

Sementara itu, DJ Lin turut menegaskan,  bahawa dia terbuka menerima kecaman tersebut, namun berharap agar orang ramai tidak melibatkan anak-anaknya dalam hal kontroversi tersebut.

‘Tidak dinafikan saya terima kecaman berterusan malah kepada anak anak saya sendiri. Pada saya, anak saya tak bersalah.

“Nak kecam ke apa kecam saya…. tapi jangan sentuh anak anak saya, mereka tak bersalah.

“Anda menghukum mereka tanpa alasan yang kukuh, anda menggelar ibu mereka macam-macam.  Mereka juga manusia yang ada emosi dan hati.

“Cuma kalau boleh saya nasihatkan, menghukum biar lah lepas kita mengetahui kenyataan yang sebenarnya. Itu baru adil” jelasnya.

Ketika ditanya mengenai kesan kecaman terhadap dirinya, DJ Lin yakin setiap yang berlaku pasti ada hikmahnya.

“Bagi saya apa yang berlaku ada hikmahnya. Allah takkan jadikan sesuatu tanpa hikmah.

“Saya tak tahu apa hikmah itu, tapi saya percaya satu ketika netizen yang menghentam, yang mencaci maki saya itu akan sedar bahawa kenyataan adalah kenyataan. Itu adalah pasti.

“Saya tak sangka 2024 ini akan dimulakan dengan dugaan ini. Ini satu proses yang saya tak pernah saya lalui.

“Ini adalah kecaman terhebat yang dilemparkan dari Tyzo. Dan saya serahkan kepada pihak terlibat terhadap penularan video  tersebut,” ujarnya.

Terdahulu, tular berita mengenai penamatan kontrak Tyzo dari stesen radio Suria FM sehinggakan ramai yang mula mempertikaikan keputusan stesen radio berkenaan.

Bukan itu sahaja, timbul pula dakwaan dari penyampai radio Selangor FM, Anie Mokhtar yang mengatakan Tyzo telah dianiayai oleh DJ Lin atau nama sebenarnya Roslinda Abdul Majid yang juga merupakan Pengurus Besar Suria FM.

Susulan itu, nama DJ Lin menjadi bualan hangat sehinggakan ramai yang mengecam penyampai radio berkenaan dan melancarkan petisyen menyuruhnya untuk melepaskan jawatan.

Salma Syahbuddin