Isu Penamatan Kontrak Tyzo, Ini Penjelasan Rasmi Pihak Suria – “ Dia Mahu Extend Kontrak 6 Bulan Sahaja”

Susulan kontroversi dan provokasi yang timbul mengenai penamatan kontrak bekas penyampai radio Suria FM, Tyzo Xander, Pengerusi Star Media Radio Group Berhad (SMRG) merangkap Ahli Lembaga Pengarah Star Media Group Berhad, Datuk Dr. Mohd Aminuddin Mohd Rouse akhirnya tampil menjelaskan punca sebenar kontrak tersebut ditamatkan.

Katanya, kontrak Tyzo atau nama sebenarnya Tuah Zolqarnain pada awalnya akan tamat pada Oktober tahun lalu.

Namun, mereka kemudiannya menawarkan kontrak tambahan selama setahun kepada Tyzo namun penyampai radio berkenaan hanya mahu menyambung kontraknya selama 6 bulan sahaja.

“Kontrak Tyzo tamat pada 9 Oktober 2023 dan dua bulan sebelum itu (Ogos 2023), saya berjumpa Tyzo untuk lanjutkan kontrak dia selama setahun.

“Tyzo bersetuju tapi hanya nak lanjutkan selama enam bulan sahaja dengan alasan dia ada plan lain dan mahu fokus dengan perniagaan yang dilakukannya.

“Justeru, selaku pengerusi saya mungkin keputusan itu dibuat selepas dia  memengani anugerah di ABPBH, dan dia merasaka akan lebih laku dan peluang untuk menerima tawaran di tempat lain semakin tinggi.

“Bagaimanapun, selepas 7 hari masa yang diberikan,  Tyzo memaklumkan kepada pihak Suria bahawa dia mahu menyambung kontraknya selama enam bulan sahaja dan perbincangan itu disaksikan oleh DJ Lin dan beberapa barisan tertinggi Suria FM,” katanya.

Aminuddin berkongsi mengenai perkara itu ketika sidang media memperkenalkan barisan penyampai radio Suria FM yang baharu yang diadakan di Cybertorium, Menara Star pada Jumaat.

Tambahnya lagi, meskipun memenangi Penyampai Radio Popular ABPBH35, itu sama sekali tidak memberi sebarang kesan negatif terhadap jumlah pendengar segmen Suria Petang yang dikendalikan bersama Sharifah Shahirah.

“Kesan kemenangan Tyzo pada ABPBH35 memang tiada, bahkan jumlah pendengar semakin menurun dan itu kenyataannya.

“Bagi pendapat saya, sesuatu perlu dilakukan untuk pembaharuan Suria FM terjaga dan penamatan kontrak Tyzo adalah salah satu caranya,” ulasnya.

Dalam pada itu, Aminuddin menegaskan bahawa  mana-mana pihak tidak lagi mengeluarkan sebarang kenyataan berbaur fitnah sehingga boleh menjatuhkan reputasi stesen radio berkenaan.

‘Saya harap isu ini akan tamat dan tidak akan dibangkitkan lagi.

“Jika ada mana- mana pihak yang membuat kenyataan dan sebagainya, pihak Suria tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang berkaitan isu tersebut.”

“Saya merayu agar pihak tuan dan puan bersikap adil dalam membuat kenyataan ataupun penulisan terhadap apa yang berlaku,” ujarnya. 

Terdahulu,  berita penamatan kontrak Tyzo mencuri perhatian warganet susulan tularnya beberapa video yang seakan-akan menuding jari kepada pihak Suria sehinggakan ramai yang mula mempertikaikan keputusan stesen radio tersebut.

Bukan itu sahaja, timbul pula dakwaan dari penyampai radio Selangor FM, Anie Mokhtar yang mengatakan Tyzo telah dianiayai oleh DJ Lin atau nama sebenarnya Roslinda Abdul Majid yang juga merupakan Pengurus Besar Suria FM.

Salma Syahbuddin