[VIDEO] Bakal Tamat Pemerintahan 30 Januari Ini, Agong & Raja Permaisuri Agong Zahir Ucapan Terima Kasih Kepada Seluruh Rakyat – “Thank You For The Last Wonderful 5 Years”

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan terima kasih kepada seluruh rakyat.

Baginda berdua yang bakal menamatkan pemerintahan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada 30 Januari ini menzahirkan ucapan tersebut ketika berkenan berangkat mengadakan kunjungan ke Sri Pentas, Bandar Utama pada Rabu.

Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong berkenan ke udara bersama penyampai Hot FM.

Al-Sultan Abdullah bertitah, penerimaan rakyat amat besar maknanya buat baginda dan Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah sepanjang menjadi Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong.

“Sebelum kita semua berundur, saya nak ucap terima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia, dimana telah menerima kami berdua serta keluarga untuk memegang tampuk pemerintahan selama 5 tahun.

“Dah sampai masanya untuk kita semua berundur hujung bulan ini, dan saya ucapkan terima kasih kepada semua rakyat.

“Syukur Alhamdulillah, dia atas penerimaan yang begitu baik sekali kepada kami sekeluarga,” titah baginda ketika berkenan ke udara bersama penyampai radio Hot FM.

Turut menzahirkan ucapan ialah Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, apabila menzahirkan rasa terharu dan terima kasih kepada rakyat sepanjang lima tahun memegang tampuk pemerintahan.

“Semoga kami semua sentiasa dalam ingatan.

“Kami juga ingin minta maaf sekiranya ada kekurangan, minta maaf ya.

“Thank you for the last wonderful 5 years,” titah Raja Permaisuri Agong.

ARTIKEL BERKAITAN: Agong & Raja Permaisuri Agong Berkenan Baca Berita Di Buletin Utama Malam Ini

Untuk info, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bakal menamatkan pemerintahannya berkuat kuasa 30 Januari 2024.

Al-Sultan Abdullah telah memegang tampuk kepimpinan negara selama lima tahun bermula 31 Januari 2019.

Seri Paduka merupakan satu-satunya Yang di-Pertuan Agong yang diberi keafiatan untuk memerintah negara dengan empat orang perdana menteri, bersama empat jemaah menteri yang berlainan.

Al-Sultan Abdullah sebelum ini menggantikan Sultan Muhammad V yang meletak jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15 selepas memegang tampuk pemerintahan negara sejak 13 Disember 2016.

Khairil Khusyairi