Didakwa Cuba Meniru Tarian Jung Kook, Sean Lee Tampil Perjelas Perkara Sebenar – “Saya Memang Meminati Dia, Tapi…”

Pelakon dan pengacara, Sean Lee menyangkal dakwaan cuba meniru tarian anggota kumpulan BTS, Jung Kook menerusi single terbarunya yang berjudul Tak Sanggup Terima.

Menurut Sean, tarian di dalam muzik lagu itu sudah dirakam lebih awal dan kebetulan dilancarkan pada tempoh yang hampir sama dengan muzik video Jung Kook yang berjudul Standing Next To You.

“Saya tidak meniru sesiapa pun. Sebenarnya muzik video lagu ini sudah dirakam awal dan hanya tinggal proses suntingan dan pelancaran.

“Saya memang meminati Jung Kook dan apabila dia keluarkan single baru mestilah saya akan tonton naskhah terbaharunya.

“Tapi tak sangka tarian Jung Kook dalam single terbaharunya itu hampir menyerupai dengan gerakan Tak Sanggup Terima sedangkan idea dan konsep sudah dibuat lebih awal.

“Jadi saya pun hubungi pihak produksi maklumkan mengenai perkara ini kerana bimbang jika ada pihak yang menyamakan gerakan saya menyerupai penyanyi itu,” katanya.

Sementara itu, Sean akui terkesan dengan komen-komen netizen yang yang mendakwa dirinya meniru dan video yang tular di TikTok dianggap ‘cringe’.

“Semua orang bermula daripada asas. Menari pun boleh belajar. Saya akui saya bukanlah penari atau penyanyi terbaik, tapi saya mencuba.

“Ini adalah bidang baharu yang saya cuba teroka. Tapi tipu kalau saya tak sakit hati dengan komen-komen negatif netizen.

“Saya tak boleh kawal apa yang orang nak cakap kerana masing-masing mempunyai perspektif tersendiri,” ujarnya.

Terdahulu, tular video Sean melakukan gerakan tarian yang didakwa cuba meniru gerakan Jung Kook menerusi muzik video Standing Next To You.

Sumber: Harian Metro

Maya Basir