Categories: Trending

Air Mata Menitis Sebak Kenang Status Keselamatan Petugas & Murid Sekolah Afwa Al-Aafiyah, Siti Nurhaliza Harap Ada Keajaiban

Penyanyi tersohor Datuk Seri Siti Nurhaliza tidak mampu menahan rasa sebak mengenang status keselamatan pelajar dan petugas sekolah Afwa Al-Aafiyah yang kini sedang berjuang di Rafah, Palestin.

Baru-baru ini, rejim Israel sekali lagi menyerang rakyat Palestin yang kini berlindung di Rafah sekaligus mengorbankan seramai 19 orang, Isnin lalu.

Menurut Siti, dia masih boleh berhubung dengan pengurus sekolah tersebut, Dr Mohanad untuk mendapatkan perkembangan terkini anak-anak murid dan petugas sekolah tersebut.

Namun, dia juga berharap agar ada keajaiban yang berlaku memandangkan situasi di sana semakin tidak selamat.

“Saya tengok di Instagram (IG) Dr. Mohanad, mereka di Rafah memang dalam keadaan yang tidak selamat. Jadi kita berdoalah. Setakat ni saya belum berhubung dengan dia lagi.

“Kita semua doakanlah semoga ada keajaiban tu. Daripada Allah sahaja kita minta benda ini cepat berakhir. Saya pun sebenarnya setiap masa bila tengok kita tak boleh tahan.

“Macam semalam Dr. Mohanad sentiasa bagi info menerusi Whatsapp. Di IG dia pun saya tengok memang keadaan tidak selamat sangat untuk mereka.

“Macam kita semua sedia maklum Israel memang tengah serang Rafah di mana tempat mereka duduk. Kita doa je lah,” katanya.

Terdahulu, Siti bersama suami, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa menerusi Yayasan Nurjiwa membina sekolah yang ditubuhkan pada 5 Oktober 2021.

Sekolah terbabit sedikit sebanyak memberi peluang kepada anak-anak Palestin mendapat pendidikan awal selain belajar dalam bangunan sekolah yang lebih selesa.

Fatin Nurain