Categories: Hiburan

Derita Sakit Dalam Perut, Rupanya Tia Jinbara Hidap Barah Hati

Sakit dalam perut yang dialami oleh bekas vokalis kumpulan Jinbara, Tia atau nama sebenar, Shamsul Bakhtiar Zakaria sejak sekian lama rupanya disebabkan barah hati dihidapinya.

Tia disahkan menghidap barah hati selepas melakukan pemeriksaan di Hospital Shah Alam.

Memetik Berita Harian, Tia kini berada dalam keadaan stabil di bawah pemantauan doktor.

Sementara itu, isteri merangkap pengurusnya, Suzan Ahmad memberitahu bahawa suaminya itu dimasukkan ke hospital Rabu lalu setelah mengadu sakit di bahagian dalam perut. Sebenarnya, sakit di bahagian perut itu sudah lama tapi abaikan.

Tia terpaksa dikejarkan ke hospital gara-gara tidak dapat menahan sakit tersebut.

Di hospital, pelbagai jenis pemeriksaan dilakukan untuk mengesan punca sakit di perutnya.

“Selepas menjalani pelbagai pemeriksaan termasuk ujian imbasan sinar-X, kolonoskopi dan yang terakhir, CT Scan, barulah doktor sahkan ada ketumbuhan pada hati iaitu barah,” jelas isterinya.

Pelantun lagu Cinta Pantai Merdeka yang kini sudah stabil bagaimanapun bakal menerima rawatan lanjutan di Hospital Selayang.

Dedah isterinya, Tia meluahkan kebimbangan dan rasa sedih dengan keadaan kesihatannya sekarang.

“Susah saya nak jelaskan pada dia. Suami beritahu saya, dia mahu terus hidup. Saya cakap padanya, selagi ada cara untuk merawatnya, kita akan cuba tak kisahlah dengan apa cara sekali pun.

“Sebagai isteri, saya kena tunjukkan padanya yang saya juga kuat dan tabah,” jelasnya.

Tambahnya lagi, walaupun perit untuk ditelan, Tia nampak tenang apabila menerima perkhabaran tentang penyakitnya itu.

Isterinya berharap agar netizen mendoakan kesihatan Tia agar diberikan kesembuhan dengan segera.

Sumber : BH

Syamir Shafie