“Dia Yang Mungkir Janji Dan Kata Dia Tak Tahu?” –  Mizz Nina Rasa Dikhianati, Dedah Bekas Suami Langgar Perjanjian & Tidak Sensitif Isu Privasi Ibu Kandung Musa

Selebriti popular dan juga aktivis kemanusiaan, Mizz Nina akhirnya tampil mendedahkan segala spekulasi berhubung kes penjagaan anak angkatnya, Musa.

Menerusi kenyataan panjang lebar yang dibuat di Instagram miliknya sebentar tadi, isu ini timbul selepas kehilangan Musa lebih tiga minggu tanpa keizinannya, apatah lagi pada ketika kejadian itu berlaku, dia tidak berada di Malaysia.

Malah, Mizz Nina menegaskan, tujuan kenyataan dibuat adalah untuk mengelakkan timbulnya sebarang spekulasi dan fitnah pada masa hadapan dan apa yang dilakukan adalah untuk mendedahkan kebenaran.

“Musa telah diambil dari saya tanpa persetujuan, tanpa pengetahuan dan tanpa maklumat. Anak saya telah diambil dari saya.

“Saya mengambilnya sebagai anak angkat pada hari kedua dia dilahirkan dan saya menyusukannya. Selama dua tahun Musa tidur di atas katil yang sama, menjalani rutin harian, dengan kelas dan rakan-rakannya sehinggalah saya tidak berada di Malaysia dan dimaklumkan dia telah dibawa pergi tanpa kebenaran dan pengetahuan saya. Ketika dia dibawah jagaan saya with legal documentation.

“Sejak saya berkahwin dengan suami saya Essam, Musa berada dalam rumah tangga dan keadaan yang stabil dengan mama dan babanya, dan kemudian tiba-tiba dia dibawa pergi tanpa pengetahuan saya dengan kerjasama seorang pengasuh yang diupah oleh saya untuk menjaga Musa tetapi mereka terus mengkhianati saya,” katanya.

Mengulas lanjut, Mizz Nina, 44, berkata, ketika perkara tersebut terjadi, dia tidak dapat sebarang berita termasuklah tahu dimana keberadaan Musa.

Bahkan, lebih mengecewakan apabila bekas suaminya, penyanyi Noh Salleh memuat naik foto Musa di platform media sosial, sekaligus memungkiri perjanjian yang telah dibuat termasuklah berkelakuan tidak sensitif apabila mendedahkan nama penuh ibu kandung Musa dalam kenyataan permohonan maaf sebelum ini.

“Pada masa ini, dia memuat naik foto Musa di internet memungkiri janji dan kemudian berkata dia tidak tahu mengenainya apabila saya tahu bahawa dia tahu.

“Dan mulai saat ini, privasi Musa telah terjejas dan hidupnya tidak akan sama.

“Dia kemudiannya mendedahkan dalam kenyataan permohonan maaf nama ibu kandung Musa ketika permohonan maaf dan tidak sensitif terhadap keinginan ibu kandung Musa untuk tidak dikenali. Sekaligus mendedahkan privasinya selepas wajah Musa terdedah,” jelasnya.

 

Terdahulu, menerusi kenyataan Mizz Nina kepada XTRA sebelum ini, aktivis kemanusiaan itu hanya mahu menceritakan kejadian sebenar kerana selama ini, dia tidak pernah berkongsi apa-apa perkara mengenai isu yang melibatkan bekas suaminya, baik kepada pemberita atau di media sosial.

“Semua orang kenal bahawa saya seorang yang sangat perahsia. Selepas kejadian itu berlaku, saya memang berdiam diri dan tidak mengeluarkan apa-apa kenyataan.

“Selepas kami bercerai, saya tidak pernah mendedahkan apa-apa atau membuka aib sesiapa, terutama bekas suami. Tapi kini, saya mahu menerangkan situasi sebenar apa yang berlaku,” kata Nina kepada XTRA sambil menyeka air mata.

ARTIKEL BERKAITAN:”Anak Diambil Ketika Saya Berada Dalam Penerbangan Tanpa Izin & Pengetahuan” – Terkesan ‘Hilang’ Musa Selama Lebih 3 Minggu, Mizz Nina Akhirnya Buka Mulut

Salma Syahbuddin