Diambil Tanpa Pengetahuan, Madu Miera Leyana Terkilan Tidak Dibenarkan Berjumpa Anak – “Nak Melawat Pun Kena Merayu-Rayu…”

Madu kepada pelakon Miera Leyana iaitu Adibah Abdul Mutalib meluahkan rasa terkilan kerana tidak dapat bertemu dengan anaknya, Anisa yang kini sedang menerima rawatan di hospital akibat sukar membuang air.

Memetik laporan Harian Metro, dia memberitahu sudah sebulan tidak bertemu anaknya itu selepas Anisa diambil suami, Rosland Othman tanpa pengetahuannya.

Menurutnya, dia hanya berhubung dengan anak keempat dari lima adik beradik itu melalui aplikasi WhatsApp sebelum mengetahui anaknya menerima rawatan di Hospital KPJ Damansara.

“Saya pergi ke hospital pada 3 Mac lalu bersama sepupu perempuan kepada dia (Rosland). Saya cakap adik menangis-menangis nak berjumpa Anisa, rindu kakak dia.

“Dia pun pergi masuk ke dalam bilik wad dan masa buka pintu saya sempatlah tengok sikit Anisa dari jauh. Tapi lepas itu dia (Rosland) keluar dan kata Anisa tak nak jumpa saya.

“Saya berasa lemah sangat. Nak melawat anak sendiri di hospital pun kena merayu-rayu. Tolonglah bagi saya melawat Anisa, saya cakap kat dia (Rosland),” katanya.

Mengulas lebih lanjut, Adibah mengatakan dia tidak pernah menghalang suaminya sebagai seorang bapa untuk bertemu dengan anak tetapi tidaklah mengambil anaknya secara mengejut.

“Memang tak perlu minta izin, tapi ambil (anak) macam itu sahaja…cara itu tak betul. Selama ini Anisa duduk dengan saya, paling tidak pun komunikasi dengan saya demi anak.

“Orang bercerai pun boleh berkomunikasi inikan pula kami masih bersama. Nak ambil, hantar anak beritahulah saya tak pernah nafikan hak dia. Tapi bila dia buat macam ini, tak adil pada saya,” jelasnya.

Untuk rekod, Adibah tidak berhasrat untuk menfailkan perceraian dan mengaku masih sayangkan rumah tangga yang dibina sejak 28 tahun lalu meskipun suaminya berpoligami selepas berkahwin dengan Miera Leyana pada Julai 2020.

ARTIKEL BERKAITAN: Suami Miera Leyana Didakwa Bawa Lari Anak Tanpa Pengetahuan Bini Pertama? – “Dah 23 Hari Berlalu, Tak Adil Awak Tuduh Saya…”

Maya Basir