Didakwa Beli Anugerah Perniagaan, Fizz Fairuz Respons: “Saya Memang Berniaga, Ada Lima Produk…Sampai Ke Turkiye”

Pelakon Datuk Fizz Fairuz tampil memberi respons terhadap dakwaan yang mengatakan dia membeli trofi kemenangan pada Anugerah Perniagaan Terbaik Malaysia 2023 yang berlangsung minggu lalu.

Menurut mStar, Fizz atau nama sebenarnya Mohad Fairuz Zainal Abdin berkata berkemungkinan dakwaan tersebut dibuat kerana jenama perniagaannya tidak mendapat tempat di kalangan ramai.

Malah, Fizz turut memaklumkan dia juga bukan lebih dikenali sebagai seorang yang bergelar usahawan.

“Saya tahu ramai yang bertanya terutama di dalam TikTok yang saya ini berniaga apa sehingga diberikan anugerah. Saya sedar saya tidak terkenal macam Meerqeen atau Anna Jobling yang orang ikuti setiap perkembangan.

“Tapi anugerah yang saya terima ini diberikan oleh orang. Saya memang berniaga dan saya ada lima produk yang saya jual macam songkok, sambal dan produk kecantikan.

“Sambal saya pun dah sampai ke Turkiye kalau nak tahu,” katanya.

Tambah suami kepada pelakon Almy Nadia itu lagi, dia juga akan lebih banyak berkongsi mengenai perniagaan yang dijalankannya pada umum.

“Saya tak bercerita semua perkara dengan orang tapi saya tak berkecil hati dengan komen netizen. Selama saya dalam industri saya tak pernah sentap.

“Memang saya ada baca komen dari netizen kadang saya balas juga, tapi bukan selalu.

“Mungkin saya pun tak kongsi sangat mengenai perniagaan saya, jadi ramai yang tak tahu. Lepas ini saya akan kongsi lebih banyak supaya ramai yang tahu,” kongsinya.

Terdahulu, nama Fizz Fairuz dan Almy Nadia menjadi bualan apabila menjadi salah seorang penerima anugerah pada Malaysia Best Business Award 2023, baru-baru ini.

Khairil Khusyairi