“Saya Takut Untuk Cakap Fasal Penceraian” – Bella Astillah Tawakkal, Doa Rumah Tangga Dilindungi

Pelakon dan penyanyi Bella Astillah mengakui kontroversi-kontroversi yang melanda keluarga kecilnya adalah diluar jangkaannya.

Menurut Bella atau nama sebenarnya, Dayang Nabellah Awang Astillah berkata episod hitam tersebut telah mematangkannya dan suami yang juga pelakon dan penyanyi, Aliff Aziz.

“Tak suka sebenarnya ada kontroversi kerana kadang-kadang ia diluar kawalan dan jangkaan saya.

“Apa yang terjadi mematangkan saya dan ada juga rasa takut. Saya dah tak mahu lalui episod patah hati, ia memenatkan dan sangat menyedihkan.

“Hidup ini cuma sekali, mahu gembira saja,” katanya menerusi program hiburan popular TV3, Melodi.

Ternyata episod panas yang menghantuinya lalu memberi impak yang besar kepada keluarganya, Bella berharap kontroversi tersebut tidak berulang kembali.

“Saya ada ramai keluarga yang perlu dijaga hati, mungkin mereka juga kurang senang dengan kontroversi yang kami lalui, dan saya sendiri tiada niat untuk mengadakan kontroversi tersebut.

“Secara jujurnya, saya tak mahu ada kontroversi yang tidak baik. Tapi kita cuma manusia biasa.

“Harapnya tak ada lagi cerita-cerita yang kurang enak didengar sebab ia beri impak yang besar,” jelas pelakon drama Aku Tanpa Cintamu itu.

Disoal mengenai hubungan bersama Aliff, Bella akui mereka kini baik-baik saja dan memilih privasi sebagai keutamaan dalam rumah tangga.

“Alhamdulillah, saya rasa sangat bersyukur, kami memilih untuk tidak terlalu berkongsi di media sosial, sebab sebelum ini kami juga pernah pergi buat rawatan.

“Saya nampak perubahan yang besar pada dirinya, kami hanya tawakkal dan berserah. Apa yang terjadi telah mematangkan dia.

“Ini tahun ketujuh kami kahwin, saya sebenarnya takut untuk bercakap mengenai isu bercerai sebab saya sendiri tak tahu apa yang akan jadi masa akan datang. Tawakkal dan semoga Allah lindungi rumah tangga saya,” tutupnya.

Khairil Khusyairi