Didakwa Pukul Anak Guna Penyangkut Baju, Bapa Pelakon Remaja Disambung Reman

Individu yang merupakan bapa kandung kepada pelakon remaja yang ditahan minggu lalu, dirujuk pula ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam berikutan laporan yang dibuat mangsa mendakwa dipukul menggunakan penyangkut baju pada 2014.

Memetik laporan Harian Metro, Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, mangsa berumur 15 tahun itu telah membuat laporan pada 8 September lalu.

“Lelaki itu akan diserahkan kepada IPD Shah Alam untuk siasatan berhubung laporan polis oleh mangsa (anaknya) dipukul suspek menggunakan penyangkut baju pada 2014.

“Permohonan reman akan dibuat esok,” katanya.

Walaubagaimanapun, Ketua Polis DaerahSubang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat memaklumkan bahawa reman suspek tamat semalam katanya ketika dihubungi BH.

“Bagaimanapun, dia akan diserahkan kepada IPD Shah Alam untuk siasatan lanjut susulan satu lagi laporan polis dibuat terhadap dirinya,” ujarnya.

Terdahulu, bapa kepada pelakon remaja tersebut ditahan atas dakwaan melakukan gangguan seksual terhadap anak perempuannya.

Sumber: Harian Metro

Atiqah Johari