Didie Alias Tegur Bakat Baharu Perlu Disiplin & Fokus – “Kalau Hanya Suka-Suka, Tak Payah Masuk Industri”

Pelakon, pengacara dan pelawak Didie Alias tampil memberi pesanan kepada bakat-bakat baharu yang ingin mencipta nama sebagai selebriti serta terus relevan supaya bekerja keras dan menunjukkan kesungguhan.

Menurut Didie atau nama sebenarnya Nur Fadzillah Ali berkata, pelakon baharu seharusnya berdisiplin dan fokus dalam sesuatu perkara.

“Untuk bakat-bakat baharu yang baru atau cuba masuk ke dalam industri, kalau untuk terus kekal relevan maknanya kena siap sediakan diri.

“Apa yang diberi daripada pihak stesen televisyen, penerbit dan pengarah, kena fokus dan jaga disiplin.

“Contohnya sekiranya ada di lokasi penggambaran, pastikan bersama pelakon-pelakon lain. Sekarang ni saya tengok, dahulu dan sekarang jauh bezanya. Biarpun saya dan rakan artis lain jarang berjumpa tapi ‘bonding’ kami sangat rapat.

“Walaupun kami tahu kami dah boleh berlakon tapi kami tetap duduk semeja. Jadi kalau boleh buat lah sebegitu,” ujarnya ketika ditemui XTRA, baru-baru ini.

Tambah Didie, dia terbuka dan cuba membantu bakat baharu untuk sama-sama menyerlah ketika bekerja bersama.

Malah Didie turut menegur agar jangan bersikap sambil lewa dan memandang mudah dengan bakat yang mereka miliki.

“Jangan sentiasa dengan telefon saja, duduk lah bersama pelakon lain, kongsi dan ambil mood bersama.

“Sayang sekiranya dapat berlakon bersama pelakon hebat tapi tak manfaatkan peluang itu. Kami sebagai orang lama kena bersatu dengan bakat baharu.

“Sesiapa nak masuk industri jangan main-main, jangan sia-siakan bakat yang ada, jadikan ini periuk nasi anda, kalau mereka hanya suka-suka nak berlakon, tak payahlah masuk industri.

“Saya sayang dengan bakat-bakat baharu yang ada kerana mereka lah pelapis industri pada masa depan. Jadi saya kadang-kadang tegur atau beri tunjuk ajar mana yang sempat, tapi selebihnya pada diri mereka sendiri.” katanya ringkas.

Khairil Khusyairi