Suami Nabila Huda Benci Karakter Ramlah, Minta Buang Sebelum Masuk Rumah – “Dia Tak Selesa Dengan Saya…”

Pelakon Nabila Huda mendedahkan suaminya, Mohd Izwan Johar tidak selesa bertemu dengannya ketika pulang ke rumah selepas menjalani penggambaran filem Rahsia.

Menurut Nabila atau lebih mesra disapa Abil, suaminya mengatakan sikapnya serius dan tidak seperti biasa.

“Saya rasa saya normal, biasa je masa berlakon filem ni. Jadi selepas dua minggu shooting, saya pulang ke rumah jumpa suami dengan anak sebab rindukan mereka dan keluar bersama.

“Tapi masa keluar bersama tu suami saya kata dia tidak selesa dengan saya sebab saya nampak lain. Saya pun tanya dia, lain macam mana?

“Rupanya Keisha dan suami sudah berbincang, mereka kata memang perangai saya lain. Saya memang tak perasan tentang perubahan tu,” kongsinya.

Malah, suami Abil turut meminta dirinya untuk membuang watak filem tersebut dan kembali ke perangai asalnya sebelum masuk ke rumah.

“Lepas tu suami saya suruh buang dekat luar watak Ramlah tu sebelum masuk ke rumah, maksudnya buang karakter tu,” ujarnya semasa ditemui di sidang media malam gala filem Rahsia yang diadakan di GSC Mid Valley Megamall, Kuala Lumpur, semalam.

Mengulas tentang karakter yang dibawa dalam filem itu, Abil memberitahu Ramlah membuatkannya menjadi seorang agresif dan sering termenung.

Disebabkan itu, dia mengambil keputusan untuk menghabiskan penggambaran sepenuhnya sebelum pulang ke rumah.

“Watak tu buat saya jadi agresif dan cepat marah sebab kita berlakon akan ambil mood, jadi untuk hilangkan watak itu saya akan ambil kembali mood gembira sebelum masuk rumah.

“Dalam kereta masih stress fikir watak tu bila sampai rumah saya kena tukar karakter jadi happy. Penat nak tukar karakter. Jadi saya ambil keputusan untuk jumpa mereka kembali selepas penggambaran selesai sepenuhnya.

“Kemudian bila pulang ke rumah barulah suami saya lega kata isteri saya dah kembali, sebelum itu bukan awak, itu adalah Ramlah. Saya benci Ramlah.

“Saya dah kembali normal, ceria dan berborak seperti biasa sebab sebelum ni suami kata saya berbual tapi tiba-tiba jadi serius, tengah termenung,” ujarnya.

ARTIKEL BERKAITAN: [VIDEO] Power! Nabila Huda Kongsi Babak Pukul Anak Dalam Lakonan Buat Netizen Mengalir Air Mata – “Bagi Lah Watak Apa Pun, Semua Menjadi”

Maya Basir