Difitnah Beri Ajaran Sesat Kepada Calon SPM & Disamakan Dengan ‘Ayah Pin’, Cikgu Zack Kirana Desak Guru Wanita Mohon Maaf

Pempengaruh media sosial yang juga seorang guru tuisyen Bahasa Melayu, Cikgu Zack Kirana membuat laporan polis terhadap seorang guru wanita susulan fitnah kepadanya.

Menurut laporan Harian Metro, Zack Kirana, 37, atau nama sebenarnya Saliza Ibrahim membuat tindakan tersebut apabila terdapat seorang guru wanita memfitnah dirinya memberikan ajaran yang salah kepada calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Lebih parah, guru wanita tersebut didakwa turut menyamakan Zack Kirana dengan Ayah Pin menerusi hantaran di Facebook.

“Menerusi hantaran di Facebook, guru itu memfitnah dengan mengatakan saya memberikan ajaran yang salah. Malah, saya dituduh bagi ajaran sesat dan samakan dengan Ayah Pin. Itu sebab saya buat laporan polis.

“Cuma, saya buat video tuntutan selepas 17 hari disebabkan menghormati situasi anak-anak murid iaitu calon SPM sedang menghadapi peperiksaan. Saya tidak mahu mengalihkan fokus mereka yang sedang sibuk ulang kaji untuk SPM.

“Saya sebenarnya masih letak rasa hormat kepada guru berkenaan sebab saya tidak petik nama akaun media sosial dan nama individu itu. Masih saya simpan nama dia.

“Sila mohon maaf, jika gagal anda berdepan tindakan undang-undang,” katanya.

Tambah Zack Kirana, dia turut menamakan seorang lagi guru lelaki dalam laporan polis yang dibuat pada 1 Februari lalu.

Namun demikian, guru lelaki tersebut sudah membuat permohonan maaf secara terbuka di TikTok.

“Cikgu wanita itu ialah guru kepada cikgu lelaki berkenaan. Dia belum buat permohonan maaf setakat hari ini. Cikgu perempuan itulah yang memuat naik status berbaur fitnah terhadap saya.

“Cikgu lelaki itu pula petik tangkap layar status cikgu wanita itu ketika membuat ulasan dalam video TikTok. Kantoi sebab memang nama saya terang-terang dalam status FB itu.

“Saya boleh agak yang cikgu lelaki itu sedang rasa bersalah pada cikgu wanita itu kerana status dia ditangkap layar dan dimasukkan dalam video ulasan tanpa tutup nama saya. Kalau tak kerana video cikgu lelaki itu kantoi, mungkin perkara ini tak jadi.

“Jadi, semalam saya terima mesej di TikTok daripada cikgu lelaki itu. Dia minta pertimbangkan permohonan maaf daripada dia sahaja memandangkan dia yang timbulkan isu. Saya tetap bertegas kerana yang menaikkan status berbaur fitnah itu sebenarnya ialah cikgu wanita itu,” katanya.

Sumber: Harian Metro

Khairil Khusyairi