Gelaran ‘Kampung’ Tak Beri Kesan Pada Slam – “Itu Maksudnya Peminat Faham Konsep…”

Kumpulan lagenda Slam mengakui tidak terkesan dengan tanggapan sesetengah pihak yang menggelar mereka band kampung.

Menurut vokalis kumpulan itu, Zamani menyatakan mereka amat bersyukur masih diterima peminat sepanjang lebih tiga dekad dalam industri seni muzik tanah air.

Menurut Zamani, kumpulan Slam tidak pernah berasa rendah diri dengan panggilan sedemikian sebaliknya berbangga tetap diterima peminat sampai hari ini.

“Kami tidak kecil hati orang nak kata kami band kampung atau ‘leman’ dan sebagainya. Alhamdulillah, kami okay saja sebab lagu yang kami bawa memang begitu.

“Bagi saya tak salah untuk mereka mengatakan lagu kami lagu ‘leman’ sebab memang konsep kami begitu dan tak rasa rendah diri pun kerana sudah lama buat konsep sedemikian.

“Itu maksudnya, peminat faham dengan konsep yang kami bawakan,” katanya.

Perkara itu teah dikongsikan oleh Zamani ketika ditemui pada sidang media Konsert Slam yang bakal berlangsung di Dewan Filharmonik Petronas (DFP) di sini, Rabu lalu.

Selain Zamani, kumpulan Slam turut dianggotai Shah selaku pemain gitar utama, Eddie (keyboard), Man (pemain dram) dan Lili (basis).

Dalam perkembangan lain, Zamani sempat berkongsi rasa terharu apabila diberi kepercayaan oleh pihak DFP  untuk beraksi di pentas berprestij itu buat julung kalinya pada 8 Jun depan.

Malah, Zamani turut menganggap undangan itu sebagai penghargaan buat kumpulan yang dianggap ‘leman’ itu  selepas tiga dekad dalam industri muzik tanah air.

“Jadi apabila pihak DFP sudah bersedia mengundang kami buat persembahan di pentas berprestij ini, maknanya mereka sudah terima dengan konsep dibawakan.

“Kami bangga dengan muzik yang kami (Slam) bawa sebab sampai sekarang orang boleh terima lagi lagu-lagu kami,” katanya.

Fatin Nurain