“Met Gala Lambat, Aina Abdul Dah Tapau Semua” – Netizen

Minggu ini, Met Gala menjadi topik hangat wargamaya seluruh dunia dalam media sosial.

Manakan tidak, jika menjengah ke media sosial rata-ratanya masih membahaskan acara fesyen berprestij itu yang menumpukan busana yang digayakan oleh selebriti Hollywood yang hadir.

Untuk info, Met Gala berlangsung di Muzium Seni Metropolitan di New York City pada hari Isnin pertama pada bulan Mei setiap tahun dan tema bagi Met Gala 2024 adalah ‘The Garden of Time’.

Terbaharu, perkongsian penyanyi bervokal mantap, Aina Abdul menjadi perhatian di media sosial.

Menerusi hantaran di Instagram (IG), Aina memuat naik foto dia mengenakan busana-busana ikonik yang pernah disarungkannya sebelum ini.

Dalam muat naik tersebut, Aina berkongsi foto dia mengenakan busana seperti baju akar yang dipakai ketika Anugerah Juara Lagu ke 38 (AJL38) lalu, busana pokok di AJL36 dan busana Bunga Raya di sebuah acara.

Pelantun lagu Jangan Mati Rasa Itu turut berkongsi busana mega ketika di karpet merah Anugerah Bintang Popular BH ke 34 (ABPBH34).

“My garden of time archives,” tulis Aina ringkas.

Menjengah ke ruangan balas, rata-rata peminat menyifatkan Aina layak untuk mewakili Malaysia ke Met Gala.

Malah, ada juga yang berpendapat fesyen-fesyen Aina tersebut setanding malah lebih baik berbanding selebriti-selebriti Hollywood yang hadir.

Ikuti Channel rasmi XTRA di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Khairil Khusyairi