Dikritik Gara-Gara Gendong Wanita Dalam Iklan Bengkung, Zul Ariffin Anggap Seperti ‘Sarapan Pagi’

Pelakon Zul Ariffin akhirnya tampil membuat penjelasan mengenai aksi menggendong seorang wanita menerusi sebuah video promosi produk bengkung yang tular di media sosial baru-baru ini.

Zul atau nama sebenarnya Zulkifli Ariffin, 36, menyifatkan babak tersebut tidak perlu diperbesar-besarkan memandangkan aksi tersebut sama seperti beliau melakonkan watak dalam drama-drama lakonannya sebelum ini.

“Idea untuk melakonkan aksi pegang tangan, dukung tersebut berlaku secara spontan. Sebenarnya kami risau juga mengenainya tetapi selepas ditonton semula, nampak okey dan kami gunakan saja.

“Aksi dukung dalam video promosi tersebut sama juga seperti apa yang saya lakukan dalam mana-mana drama. Apa yang penting ialah mesej yang hendak disampaikan iaitu mempromosikan kelebihan produk tersebut kepada umum,” katanya.

Kritikan itu sebagai publisiti

Tegas pelakon filem Sangkar ini lagi, semua kritikan yang dilemparkan kepada dirinya dianggap sebagai publisiti normal terutamanya jika seseorang itu terlibat dalam industri hiburan tanah air.

Malah, beliau menganggap kritikan dari segelintir netizen itu disifatkan sebagai ‘sarapan pagi’.

“Kami tak rancang pun sebenarnya aksi-aksi tersebut. Namun bagi saya, jika perkara tersebut dilihat dari sudut positif, maka baiklah mesejnya dan sekiranya negatif, jadi buruklah isinya.

“Mengenai kritikan pula, perkara tersebut seperti sarapan pagi, saya telan saja semuanya. Setakat ini, aksi tersebut saya pandang hanyalah dari sebuah video pendek dan tidak lebih daripada itu.

“Babak tersebut juga tak sepatutnya menjadi isu sebab itu sebahagian daripada kerja saya. Saya dilantik sebagai duta produk tersebut kemudian saya jalankan tugas saya seperti yang sepatutnya,” ujarnya.

 

 

Salma Syahbuddin