Dikritik Masakan Terlalu Berminyak, Khairul Aming Tampil Pertahan Pendapat – “Saya Pamer Realiti Sebenar Penyediaan Makanan”

Selebriti masakan terkenal, Khairul Amin Kamarulzaman tampil menjawab teguran pakar perubatan, Dr Rafidah Abdullah terhadap masakannya yang dikatakan tidak sihat dan terlalu berminyak.

Menerusi perkongsian video di Instagram, Khairul Amin berkata, sebagai penghasil kandungan (Content Creator)  dia bertanggungjawab mempamerkan realiti sebenar cara penyediaan sesuatu masakan.

Menurutnya, bagi mereka yang jarang memasak di rumah, mereka akan akan menganggap kuantiti bahan asas yang ditunjukkan adalah berlebihan meskipun bahan dan cara penyediaaan makanan tersebut sama seperti makan di luar.

“Kita tak sedar sebab kita tak pernah masak makanan tersebut. 

“Kalau kalian tidak biasa memasak terus pergi beli di kedai makan dan kalian  tidak akan rasa bersalah. Tetapi bila saya tunjukkan video masakan, orang pula komen banyak minyak tapi sebenarnya sama sahaja seperti di kedai,” katanya.

 

Menjawab mengenai penyediaan makanan menggunakan bahan yang lebih sihat, penghasil kandungan popular itu berpendapat, ia boleh dilaksanakan namun sedikit sebanyak ia boleh mengubah tahap kesedapan sesuatu masakan.

“Kalau nak sambal sedap, kita kena masak dalam minyak yang banayak supaya ia pecah minyak.

“Kalau nak ayam goreng yang berair dan rangup, kita kena goreng dalam minyak yang banyak. Itulah cara penyediaannya. Kalau nak ubah boleh tapi jadi tak sedap,” jelasnya.

Sebelum ini, Dr Rafidah menerusi ciapan di Twitter meminta supaya Khairul Aming menyediakan resepi sihat kepada orang ramai.

Malah, menerusi ciapan yang berlainan, Dr Rafidah tampil memohon maaf apabila terdapat segelintir pihak yang menyalah anggap kenyataannya, kononnya Khairul Aming merosakkan kesihatan rakyat Malaysia.

“Saya mohon maaf kerana saya nampak ramai yang salah anggap yang saya menuduh Khairul Aming merosakkan kesihatan rakyat Malaysia. Dua ayat terakhir saya sepatutnya di para yang lain. Walaubagaimanapun, harapan saya video-video atau content dari mana-mana influencer ada tertera kandungan kalori,” ciapnya.

 

ARTIKEL BERKAITAN:Resipi Masakan Terlalu Berminyak, Khairul Aming Ditegur Pakar Perubatan

Salma Syahbuddin