Dikritik Masih Tayang Aurat Selepas Pulang Kerjakan Umrah, Ini Jawapan Daiyan Trisha…

Pelakon dan penyanyi, Daiyan Trisha tampil menjawab dakwaan sesetengah warganet yang mempersoalkan dirinya terus membuka aurat walaupun baru pulang dari mengerjakan ibadah umrah, baru-baru ini.

Daiyan atau nama sebenarnya, Daiyan Trisha Mohd. Nasaruddin, berkata, orang tak boleh menilai dirinya melalui pakaian namun hatinya.

“Proses menutup aurat ini lain-lain bagi setiap individu. Ada yang pakai cabut, pakai cabut. Tak mengapalah, mereka pun mencuba. Siapa kita untuk menghakimi?

“Untuk kaum wanita, kita sangat senang dihukum atas apa yang kita pakai sebab senang bagi manusia begitu. Takkanlah saya balik umrah, apa yang kalian tengok adalah pakaian saya sahaja. Tapi, itu yang paling dilihat dan paling senang untuk mencari salah.

“Kalau hati ini boleh keluar. Maknanya, boleh nampak tompok-tompok hitam, itu pun kalian ‘judge’. Kalaulah boleh nampak.

“Orang tak boleh nampak hati saya. Apa yang mereka nampak adalah luaran saya. Jadi, saya faham apabila khalayak ‘judge’ saya bila tak pakai tudung,” katanya.

Daiyan ketika menunaikan ibadah umrah minggu lalu.

Dalam pada itu, Daiyan memberitahu hatinya mula sedar untuk memberi fokus kepada ibadah di bulan ramadan sejak tahun lalu.

“Keluarga saya biasa sahaja, tak kaya. Saya yang tiba-tiba jadi kaya. Alhamdulillah rezeki. Takkan saya nak cakap saya tak kaya, kan? Sebab memang orang dah nampak gaya hidup saya apa semua.

“Saya sentiasa ingatkan diri bahawa hanya sebulan dalam setahun yang saya kena ketepikan hal dunia sekejap sahaja. Janganlah macam nak kerja sangat.

“Sebab dulu masa awal 20-an, saya seorang yang sangat ‘workaholic’ namun sejak tahun lalu saya macam tersentak mula sedar bahawa saya nak asingkan masa sebulan untuk beribadat kepada Tuhan,” ujarnya.

Pelantun lagu Penat itu juga turut berkongsi bahawa dia ada memasang niat untuk bernikah di Tanah Suci Makkah.

“Memang cita-cita nak nikah di Mekah. Saya pasang niat sejak tahun lalu namun calon suami belum ada lagi,” katanya.

Sumber: Kosmo!

Khairil Khusyairi