Dilabel Kayu, Hanya Pertaruh Wajah Cantik… Sharifah Rose Pernah Alami Kemurungan – “Saya Tak Layan Kecaman Demi Kesihatan Mental”

Pelakon Sharifah Rose yang terpalit dengan label pelakon kayu dan mempertaruhkan wajah cantik ketika awal kemunculan mengakui kata-kata terbabit mengguris hatinya.

Namun, gadis kacukan darah Melayu, Arab dan Jawa itu tidak mahu mengalah dengan kritikan netizen terhadapnya walaupun kata-kata yang dilemparkan meninggalkan kesan.

Akhirnya, Rose mengambil keputusan untuk tidak membaca kecaman-kecaman demi menjaga kesihatan mental.

“Saya juga manusia biasa, ada masanya terguris juga hati apabila netizen seakan-akan sengaja mahu mencari kesalahan saya. Namun, saya cuba untuk tidak melayan kecaman demi menjaga kesihatan mental.

“Saya pernah mengalami kemurungan, jadi serik untuk berada dalam situasi ini. Cuma, saya kasihan ibu.

“Ini kerana ibu adalah insan paling sedih setiap kali saya dihimpit kontroversi. Namun, saya belajar terima setiap kecaman secara positif.

“Kecaman juga membuatkan saya banyak belajar dan makin bersemangat memperbaiki kekurangan diri,” katanya.

Namun begitu, Rose menyatakan bahawa tawaran datang silih berganti dan dia tidak menyangka masih dipanggil berlakon.

“Sebab itulah, saya tidak kisah membiarkan ada yang mengecam saya kayu dan sebagainya.

“Saya memerlukan teguran dan kritikan. Apabila adanya teguran, ia memberikan saya semangat untuk belajar dan menyelami karakter lebih baik pada masa akan datang,” katanya.

Selain itu, Rose pernah terkait dengan kontroversi menciplak nama jenama hijab yang sudah berada dipasaran dan didakwa hampir sama dengan jenama asal kerana ejaan dan logo digunakan hanya terdapat sedikit perbezaan.

Pelakon tersebut sudah tampil memohon maaf di laman sosial dan memilih untuk tidak meneruskan perniagaan berkenaan serta mengakui tidak berniat untuk melukakan hati mana-mana pihak.

Sumber: BH Online

 

 

Maya Basir