Categories: HiburanTrending

Diselar ‘Playboy’ Gara-Gara Sering Jalin Cinta Dengan Artis Gandingan Drama, Meerqeen Malas Layan Kecaman Netizen – “Lebih Baik Saya Berdiam”

Pelakon Meerqeen rimas dengan gelaran ‘playboy’ yang diselar oleh netizen gara-gara sering bergandingan pelakon wanita dalam drama lakonannya.

Pemilik nama sebenar Muhammad Shameer Shauqeen Shaiful Izam itu menjelaskan dia masih meletakkan batas-batas tertentu dalam pergaulan.

“Saya tahu batas dalam pergaulan dan perlu menghormati persahabatan saya dengan rakan artis lain. Tidak mungkin setiap kali digandingkan dalam sesi fotografi atau memenuhi undangan sesuatu majlis terus kami dicop mempunyai hubungan istimewa,” katanya.

Lagi pula, netizen perlu bijak membezakan perwatakan dirinya yang sebenar dan menerusi kaca televisyen.

Akui terasa hati dakwaan tidak berasas netizen, teraju utama Melur Untuk Firdaus itu menegaskan dia bersikap profesional dan watak yang dilakonkan mengikut naskah tidak akan dibawa keluar ke dunia realiti.

“Namun saya maklum, sebagai pelakon kita tidak dapat lari daripada mulut orang. Apa yang penting adalah saya bersikap profesional dan melaksanakan apa yang sudah tertulis dalam kontrak.

Memetik laporan Harian Metro, pemenang trofi Aktor TV Terbaik dalam Anugerah Bintang Popular Berita Harian Ke-35 itu tidak mengambil peduli kritikan dan pandangan negatif netizen yang tidak akan berkesudahan.

Justeru, lebih baik dia hanya perlu fokus kepada dirinya dan kerjayanya sahaja.

“Jadi peranan saya sebagai pelakon, saya tidak kisah kerana saya tahu saya bukan begitu. Apa pun, saya akui bukan mudah untuk menutup mulut daripada berkata-kata. Mereka ada persepsi mereka sendiri dalam apa jua situasi,” jelasnya.

Meskipun dihujani pelbagai kontroversi, tempat ketiga Hero Remaja 2020 itu memilih untuk berdiam diri dan enggan mengulas lanjut isu yang sedang tular.

“Saya tak layan apa-apa yang keluar di media sosial sehingga boleh menjejaskan kerjaya saya. Kenapa saya perlu menjawab untuk puaskan hati semua orang.

“Lebih baik saya berdiam. Cukuplah keluarga tahu apa yang saya buat. Semakin lama kita dalam industri pasti akan ada orang yang tidak suka dan mahu menjatuhkan,” ujarnya.

Sumber : Harian Metro

Syamir Shafie