Categories: HiburanTrending

“Jangan Study Kuat Sangat!” – Iman Troye Dedah Adik Saudara Koma 4 Bulan Gara-Gara Abai Kesihatan Demi Result Cemerlang

Penyanyi Iman Troye menasihati pelajar-pelajar yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) agar tetap mementingkan kesihatan diri meskipun sibuk dengan ulang kaji.

Iman atau nama sebenarnya Siti Nur Alyssa Sahabudin itu tidak mahu kesihatan diri terjejas akibat terlalu belajar bersungguh-sungguh sehingga tidak ada masa untuk makan atau berehat.

Dalam pada itu, Iman mendedahkan kisah adik saudaranya pernah mengalami koma selama empat tahun kesan daripada kecuaian menjaga kesihatan diri sewaktu dalam persediaan menghadapi peperiksaan.

“Jangan belajar kuat sangat. Saya nak kongsi cerita pasal kawan atau adik saudara saya. Dia pernah koma empat bulan

“Dia penat belajar. Waktu tu, dia tak makan dan tak ada tenaga. Badan dia tak kuat. Dia jatuh tangga sampai kepala terhentak dan pengsan.

“Sebab itu kena jaga kesihatan dan makan kena seimbang semasa persiapan nak ambil peperiksaan nanti”

“Keputusan SPM penting, kesihatan diri pun jauh lebih penting,” katanya kepada XTRA.

Malah, pelantun lagu Teman itu juga menegaskan bahawa jika pelajar enggan menitikberatkan kesihatan diri, pelajar tersebut akan berdepan kesan yang lebih teruk semasa hari peperiksaan berlangsung.

Iman yang sudah dua tahun bergelar Duta dan Ikon Pusat peningkatan akademik dan pakar dalam membantu pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), PTTI mengakui dirinya tidak dapat belajar secara bersendirian pada zaman dia menduduki pepeperiksaan dahulu.

Peserta The Masked Singer musim kedua itu berkongsi, dia lebih selesa untuk belajar secara berkumpulan dan mempunyai guru yang boleh memberi bimbingan dalam kumpulan.

“Kalau ikut cara saya, saya kena ada cikgu yang duduk dengan saya dan perlu ada kumpulan. Saya juga perlu melihat visual yang bergerak atau video.

“Saya tak boleh menatap buku sahaja takut nanti saya tidur terus. Lagi satu, telefon letak jauh-jauh,” ujarnya lagi.

Pun begitu, Iman meminta pelajar agar belajar mengikut gaya atau kecederungan masing-masing.

Iman ditemui XTRA usai majlis sidang media PTTI Pecutan Akhir SPM di Sri Pentas, Bandar Utama hari ini.

Menyifatkan SPM sebagai satu pencapaian bermakna dan boleh mengubah haluan hidup, Iman menyeru pelajar-pelajar supaya lebih serius dan berlajar bersungguh demi membalas jasa ibu bapa yang telah banyak berkorban.

“SPM ini sekali sahaja, ini adalah cara terbaik untuk banggakan mak ayah, dapat balas jasa mak ayah,” ujarnya.

Syamir Shafie