Diserang Penyakit Misteri, Fendy Bakry Makin Pulih

Alhamdulillah! Nampaknya kesihatan pelakon Fendy Bakry dilaporkan semakin baik…

Pelakon berusia 29 tahun yang diserang penyakit misteri itu mula menunjukkan perubahan positif selepas hampir sebulan menerima rawatan.

“Alhamdulillah, keadaannya bertambah baik dan perkembangan itu memberi petanda positif untuk melihat Fendy segera pulih. Kami juga sentiasa berharap dia akan kembali sihat dan dapat bekerja seperti biasa,” kata Pengurus Besar Prokuya Studio, Fadzil Zahari kepada BH Online.

Sementara itu, Fendy atau nama sebenarnya, Mohd Affandi Nor Bakri, 29, menerusi muat naik video di laman Instagram memaklumkan, dirinya berada dalam keadaan baik, selain turut mempromosikan drama lakonannya yang masih ditayangkan.

“Salam semua… hangpa sihat ka? Alhamdulillah abang okay… kita jumpa lagi malam ini,” tulis pelakon yang popular menerusi drama yang menggunakan loghat Utara itu.

Sebelum ini, Fendy dilaporkan pulang ke kampungnya di Perlis untuk mendapatkan rawatan selepas dikatakan mengalami penyakit misteri ketika menjalani penggambaran drama itu sejak awal bulan ini.

Ekoran keadaan kesihatannya yang tidak mengizinkan, pengurusannya terpaksa menunda semua komitmen seni pelakon itu.

SGMS Faida