Ditemui Tidak Bernyawa Di Rumah, Jit Murad Meninggal Dunia

Pelakon, pengarah dan aktivis teater, Jit Murad, 62, ditemui tidak bernyawa oleh rakan-rakan di kediamannya di Bukit Damansara, jam 2.15 petang, pada Sabtu.

Memetik laporan Berita Harian, teman baiknya yang dikenali sebagai, Fizar  Harun dan rakan lain bergegas ke kondominium milik Allahyarham setelah beberapa panggilan yang dibuat tidak berjawab.

Namun, setelah tiba di kediaman tersebut, arwah didapati sudah tidak bernyawa.

“Jadi saya dan beberapa rakan lain bergegas ke ko dominiumnya untuk memeriksa.

“Dan kami menemui arwah sudah tidak bernyawa,” katanya.

Dimaklumkan, sehingga kini punca kematian masih tidak diketahui.

“Sehingga kini, punca kematian belum dikenal pasti. Saya dan teman-teman masih menunggu keputusan bedah siasat pihak hospital untuk mengetahuinya.

“Mengenai lokasi jenazah dikebumikan, ia terserah kepada keluarga arwah. Ia mungkin akan dimaklumkan esok,” ujarnya.

Terdahulu berita pemergian arwah dikongsi beberapa teman artis termasuk Puan Sri Tiara Jacquelina, Susan Lancester dan Que Haidar dalam laman sosial.

Jit atau nama sebenarnya, Aziz Mirzan adalah anak kepada bekas Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, Allahyarham Tan Sri Murad Mohamed Noor.

 

Salma Syahbuddin