Dituduh Tak Hormat Tempoh Idah, Adira Suhaimi Tampil Beri Respons : “Anak 4 Orang Tu Siapa Nak Bagi Makan?”

Penyanyi Adira Suhaimi tampil mempertahankan diri apabila terdapat segelintir warganet yang mempersoalkan mengenai tempoh idahnya memandangkan dia baru sahaja bercerai dengan bekas suaminya, Datuk Adnan Abu atau Datuk Red pada 23 April lalu.

Menurut Adira, dia bukanlah balu yang bercerai mati dan disebabkan itu dia perlu keluar bekerja untuk mencari pendapatan bagi menyara anak-anaknya.

“Kita ni bukan balu sayang…kita bercerai hidup, bukan bercerai meninggal.  Jadi kita kena keluar pergi bekerja mencari sesuap nasi. Habis tu, kalau duduk rumah sahaja siapa nak bagi makan?

“Itupun kalau yang idah yang kematian suami pun kalau dia perlu atas urusan kerja boleh sahaja dia keluar. Kalau tak, siapa yang nak sara hidup dia.

“Tak habis-habis tanya dah habis idah ke?  Dah habis idah ke? Habis tu, anak empat orang tu siapa nak bagi makan?,” katanya.

Adira berkata demikian menerusi sepotong video pendek berdurasi lebih satu minit yang dikongsikan di platform TikTok miliknya.

 

Menjengah ke ruangan balas, rata-rata warganet bersetuju dengan pendapat yang diberikan pelantun lagu Pujaan Hati itu.

“Saya cerai hidup. Tanya pejabat Agama Ustaz cakap boleh jika bekerja. Sebab banyak komitmen nak kena bayar bulanan. tiga kali suci mau kena halau dari rumah sewa kalau tak kerja.

“Betul, kalau ada keperluan suami tak mampu beri nafkah kena keluar bekerja.

“Cerai hidup pun ada idah. tapi betullah Adira cakap, kalau dia tak keluar kerja siapa yang nak bagi makan.

“Orang senang je cakap kalau dalam tempoh idah kena duduk rumah. Pengalaman saya, dalam idah orang takkan tolong kalau diri sendiri tak keluar kerja.

“Betul Adira, teruskan hidup. Yang penting niat,” komen netizen.

 

Salma Syahbuddin