Doa Alif Satar Dimakbulkan, Sonny Bill Williams Hadir Ke Program #GengSubuhMacamJumaat Di Putrajaya

Pengacara, pelakon dan penyanyi terkenal, Alif Satar bersyukur apabila doanya dimakbulkan untuk bintang ragbi dunia, Sonny Bill Williams hadir ke program Geng Subuh Macam Jumaat anjuran Faith Events di Masjid Putra, Putrajaya, semalam.

Memetik laporan Harian Metro, Alif mempunyai hasrat untuk membawa program itu ke peringkat antarabangsa.

Selain Mufti Menk, dia juga berdoa agar Williams akan menyertai program berkenaan.

“Saya sangat bersyukur bila dapat tahu Faith Events mengundang Williams untuk menyertai program ini.

“Williams mempunyai pengaruh yang sangat besar, bermula dari kisah dirinya memeluk agama Islam, kisah hidupnya juga menjadi sumber inspirasi kepada orang ramai,” jelasnya.

Menurutnya, dia juga peminat setia Williams dan berharap program ini dapat diteruskan di New Zealand iaitu tempat kelahiran bekas petinju professional itu.

“Walaupun kami baru kali pertama berjumpa tapi seperti sudah kenal lama. Beliau juga menyambut baik perancangan saya untuk meneruskan kempen ini hingga ke peringkat dunia.

“Terima kasih brother Hamza (Williams) kerana sudi menjayakan kempen anjuran Faith Event ini di sini.

“Insya-Allah, semoga kempen mengajak golongan muda mengimarahkan masjid ini dapat diteruskan di New Zealand pula selepas ini,” ujarnya.

Berkenaan program tersebut, Alif dihubungi pihak Faith Events dan Jakim untuk menjayakan program itu di Putrajaya dan kebetulan terbabit dengan penggambaran di sana.

“Secara kebetulan, saya habis penggambaran awal dan dekat pula dengan lokasi Putrajaya.

“Ramai geng subuh saya yang sertai program ini dan mereka bukan sekadar nak jumpa Williams atau saya sahaja tetapi kerana Allah,” katanya.

Terdahulu, hampir 5,000 jemaah hadir bagi menjayakan program terbabit.

Maya Basir