“Doktor Saran Pasang Bateri Pada Jantung Saya Sebab Dah Lemah” – Ebby Yus

Pelawak dan pelakon Ebby Yus bersyukur apabila keadaan kesihatannya kini semakin baik selepas mendapatkan rawatan bagi penyakit jantung dan buah pinggang yang dialaminya.

Menurut laporan Harian Metro, Ebby atau nama sebenarnya Muhammad Yunus Abdul Rashid turut memaklumkan doktor turut menasihatinya untuk menjalani prosedur pemasangan bateri pada jantung.

“Kalau nak dibandingkan dengan sebelum ini, Alhamdulillah sekarang lebih nampak perubahannya selepas mendapatkan pelbagai rawatan.

“Tapi kalau mengikut doktor mengenai masalah jantung saya ini, dia menasihatkan untuk memasang bateri sebab berada dalam keadaan lemah. Kemudian mata pun perlu menjalani pembedahan dan masalah buah pinggang pun kalau tidak dijaga akan mendatangkan risiko.

“Apapun saya berterima kasih kepada pihak yang sentiasa mengambil berat dan mendoakan kesihatan saya. Jangan risau mengenai saya, mudah-mudahan semuanya okey,” katanya.

Ebby turut mengakui terdapat masalah kewangan yang dihadapinya namun tetap positif dengan perkara tersebut.

“Setakat hari ini semuanya baik-baik saja tapi tak tahu pada masa akan datang. Mudah-mudahan saya diberikan kesihatan yang baik.

“Saya tak berani nak cakap lebih sebab kekangan-kekangan (masalah kewangan) itu ada tapi Insya-Allah semuanya akan dipermudahkan.

“Kalau nak cakap duit saya sudah mencukupi tak tahu bila nak cukup tapi saya cuba kumpul sedikit demi sedikit,” ujarnya.

Biarpun berdepan dengan masalah kesihatan, Ebby tetap komited berkerja namun perlu dipertimbangkan terlebih dahulu mengikut kondisi kesihatnnya.

“Jujurnya kalau nak sebut fasal komitmen bulanan memang banyak tapi saya akan cuba perlahan-lahan dan menerima tawaran yang bersesuaian dengan tahap kesihatan saya sekarang.

“Alhamdulillah tawaran kerja ada cuma kemampuan saya agak terhad terutama membabitkan kawasan ‘outdoor’ kerana saya menghadapi masalah silau hingga boleh menyebabkan masalah pening dan pitam, lebih-lebih lagi jika cuaca panas tapi untuk kerja di studio tiada masalah,” jelasnya.

Pada Februari lalu, Ebby dilaporkan dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) HKL akibat komplikasi jantung dan buah pinggang rosak.

ARTIKEL BERKAITAN: Alami Masalah Jantung & Buah Pinggang, Ebby Yus Kini Jalani Rawatan Alternatif

Sumber: Harian Metro

Khairil Khusyairi