Dokumentari ‘This Is Johan’ Rungkai Kisah Perjalanan Joe Flizzow Selepas Too Phat Bubar – “Saya Tak Perlu Merayu Pada Malique Untuk…”

Penyanyi rap, Joe Flizzow mengakui tidak menghubungi bekas rakan duonya, Malique untuk berkongsi perjalanan mereka ketika dalam kumpulan Too Phat menerusi dokumentari berjudul This Is Johan.

Jelas Joe atau nama sebenarnya Johan Ishak, dia menghormati keputusan Malique untuk tidak berada depan khayalak umum.

“Saya tidak menghubungi dia, sebab saya dah tahu jawapan dia.

“Saya hormat keputusan dia untuk tak ada dalam ‘limelight’ lagi. Saya tak perlu nak merayu kepada dia untuk berada dalam dokumentari ini.

“Lagipun dokumentari tentang ‘This Is Johan’, bukan Malique.

“Dia tetap sebahagian dari perjalanan industri seni saya. itu sudah pasti,” katanya.

Joe berkata demikian ketika ditemui pada majlis sidang media dokumentari This Is Johan berlangsung di Menara Maxis, Kuala Lumpur, semalam.

Sementara itu, disoal sekiranya Malique menonton dokumentari tersebut, Joe yang juga dikenali sebagai Mr President ini berharap dia akan menikmatinya.

“Saya harap dia (Malique) enjoy. Sejujurnya, siapa yang masih bercakap mengenai Too Phat sehingga ke hari ini? Saya!

“Jadi saya tak nampak sebab dia akan marah tentang itu. Sekurangnya saya masih bercakap mengenai Too Phat,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Joe berkata hubungan persahabatan antara mereka tidak terputus meskipun sudah lama tidak berhubung.

“Sejujurnya lepas berpisah dan dengan apa yang sudah berlaku, saya tak rasa ada beri kesan pada persahabatan kami.

“Macam orang cakap la, air dicincang tak akan putus,” akhirnya.

Sekadar info, kumpulan Too Phat ditubuhkan pada 1998 sehingga meledak dan menjadi fenomena dalam genre hip hop rap ketika itu.

Namun pada 2017, masing-masing memilih untuk bergerak solo.

Dokumentari ‘This Is Johan’ bahagian satu dan dua boleh ditonton menerusi platform penstriman Viu.

Artikel Berkaitan: Gempak! Joe Flizzow Hibur 1500 Penonton Di ‘This Is Johan Live In Concert’

Artikel Berkaitan: Kejelitaan Inca Medina Tarik Perhatian, Ramai Tawar Diri Nak Jadi Menantu Malique – “Cantik, Senyuman Sama!”

Aqilah Paharuzi