‘Masihkah Ada Rasa Itu?’ Buah Tangan Terbaru Misha Omar Buai Emosi Peminat

Penyanyi bersuara lunak, Misha Omar melancarkan single terbaharunya berjudul ‘Masihkah Ada Rasa Itu?’ (MARI) hasil sentuhan komposer terkenal, Sharon Paul.

Setelah empat tahun tidak tampil dengan lagu baru, Misha atau nama lengkapnya Samihah @ Aisah Omar sekali lagi membuat peminat ‘merintih’ menerusi bait-bait lirik tulisan Que Afiq.

Pelantun lagu popular Sampai Bila ini berkongsi berita gembira berkenaan menerusi hantaran di Instagram pada Jumaat.

“Alhamdulillah , lagu terbaru Kak Mitch (panggilan mesra Misha Omar) ‘Masihkah Ada Rasa Itu?” sudah boleh kalian dengar di seluruh platform digital.

“Besarlah harapan Kak Mitch mudah-mudahan karya olahan terbaru Sharon Paul dan Que Afiq ini melekat di hati kalian dan mengubat rindu kita bersama setelah empat tahun rilisnya Tanpa Rela.

“Sekali lagi terima kasih untuk sokongan kalian yang sangat menggalakkan setakat ini .. semoga supportnya berterusan ya…,” tulisnya.

Menceritakan lebih lanjut, pemenang vokal terbaik Anugerah Juara Lagu (AJL) ke-33 ini berkata MARI adalah sebuah lagu berkisar tentang pasangan kekasih yang sudah berpisah, namun antara mereka masih dihantui perasaan cinta saat sedang cuba untuk melupakan.

“Projek kali ini adalah kerjasama dengan Sharon Paul dan diarahkan oleh Datuk Syafinaz Selamat.

“‘Masihkah Ada Rasa Itu?’ ini tentang satu perasaan bergulir seolah-olah sudah move on tetapi dalam proses itu masih teingat terhadap cinta terindah antara mereka,” katanya dalam platform broadcast message di Instagram.

Sementara itu, Misha berkata buat masa ini pihaknya belum berpeluang untuk merakam muzik video lagu MARI demi memberi tumpuan sepenuhnya kepada anak sulung, Muhammad Adam Emir kini sedang menjalani peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Single ‘Masihkah Ada Rasa Itu?’ buah tangan terbaru Misha boleh dimuat turun di iTunes, Apple Music, Spotify, Deezer, KKBoz dan juga boleh distrim menerusi YouTube.

Artikel Berkaitan: Emosi Misha Omar Terkesan, Hati Robek Atas Nasib Menimpa Palestin… – “Tak Boleh Tidur, Hampir Deactivate Akaun”

Artikel Berkaitan: “Salahkan Saya, Jangan Kecam Misha Omar” – Persembahan Dikritik Terlalu Mesra, Naqiu Mohon Maaf Tak Jaga Sensitiviti

Artikel Berkaitan: Misha Omar Tak Mahu Kongsi ‘Journey’ Rawatan IVF, Mahu Jaga Sensitiviti Pasangan Tiada Zuriat

Aqilah Paharuzi