Categories: Hiburan

Kongsi Cabaran Jadi Bapa Di Usia Muda, Atta Halilintar Syukur Anak-Anak Disayangi Ramai

Selebriti dan pempengaruh terkenal Indonesia, Atta Halilintar tampil berkongsi cabaran menjadi seorang bapa di usia yang muda.

Menurut Atta, dia masih belajar untuk menjadi bapa yang terbaik untuk dua orang puterinya iaitu Ameena Hanna Nur Atta dan Azura Humaira Nur Atta.

“Saya sangat gembira adanya Ameena dan Azura. Ramai yang bercakap mengenai mereka di Malaysia dan Indonesia. Saya masih banyak perlu belajar untuk menjaga anak perempuan.

“Sebab anak perempuan ini tanggungjawab atas ayahnya sampai bernikah nanti. Memang saya tengah belajar jadi bapa yang baik untuk mereka berdua.

“Memang bukan mudah, sebab saya pun masih 29 tahun. Masih daddy muda la. Jadi, saya akan terus belajar menjadi yang terbaik,” katanya.

Perkara itu telah dikongsikan oleh Atta  ketika ditemui pada sidang media pelancaran lagu kolabarasi pertamanya dengan penyanyi rap Malaysia Kidd Santhe dan Saixse berjudul ‘Mantap Cuy’ di Flour, Fire & Stone, Petaling Jaya, Isnin lalu.

Dalam pada itu, menantu kepada penyanyi terkenal Indonesia, Kris Dayanti itu juga meluahkan rasa terharu apabila anak sulungnya Ameena mendapat perhatian ramai di media sosial.

“Ameena ini dari lahir lagi, nenek dan atuk dia terkenal di Indonesia, jadi gambar dan video dia banyak dirakam.

“Selagi orang mendoakan dan suka dengan Ameena, saya akan kongsikan. Kalau dulu posting di laman sosial orang bertanyakan tentang saya, sekarang setiap posting saya orang bertanya mana Ameena.

“Orang mencari Ameena, memang Ameena mempunyai aura sendiri di Indonesia. Dia menjadi baby yang paling banyak orang doakan dan sayang,” jelasnya.

Mengakui terbuka berkongsi tentang anaknya di media sosial, Atta sempat berkongsi perkembangan terkini anaknya itu yang semakin petah berkata-kata.

“Mungkin dia tengok saya bercakap depan kamera, buat vlog dan sebagainya. Dia mungkin belajar dari situ. Saya tak berapa percaya dengan DNA kerana bagi saya DNA itu dari segi fizikal.

“Tapi kalau anak itu melihat orang tuanya menyanyi, dia akan menyanyi juga. Apa saja orang tuanya buat, dia akan ikut,” katanya.

Sekadar info, Atta telah mendirikan rumah tangga dengan penyanyi Aurel Hermansyah pada 3 April 2021 dan dikurniakan dua cahaya mata perempuan bernama Ameena, 2 tahun dan Azura, 5 bulan.

Fatin Nurain