“Hanya Gaduh-Gaduh Manja, Jangan Cakap Pasal Berpisah” – Suami Nora Danish

Suami pelakon, Nora Danish iaitu Nedim Nazri mengakui rumah tangganya dalam keadaan baik, namun tidak menafikan mereeka berdua ada ‘gaduh-gaduh manja’.

Menerusi sesi siaran langsung di Instagram, rata-rata netizen membanjiri ruangan komen bertanya mengenai status rumah tangga mereka.

Dalam sesi ‘live’ tersebut juga, Nedim menegaskan dia amat menyayangi isterinya itu.

“Tak ada apapun, gaduh-gaduh manja itu betul. Masalah kecil sahaja, kami okay. Masih baik, Alhamdulillah.

“Kami adalah rakan dan pasangan yang baik. Tolonglah, jangan buat lawak mengarut.

“Janganlah cakap pasal berpisah, tak baik. Alhamdulillah, saya nak bawa isteri dan anak keluar,” katanya.

Nedim turut mengakui dia dan Nora kini tinggal berasingan dek kediaman mereka sedang dalam proses pengubahsuaian.

“Insya-Allah, tak ada benda, memang kami duduk berasingan sebab rumah masih dalam proses ubah suai,” ujarnya lagi.

Sebelum ini, Nora tidak menafikan rumah tangganya bersama Nedim kini sedang bergolak serta mendedahkan sudah tiga bulan dia dan suami tinggal berasingan.

Nora dan Nedim berkahwin pada 30 Mac 2017, hasil perkongsian hidup mereka dikurniakan seorang anak lelaki, Mohamed Neqayl, 6.

Sebelum itu, Nora pernah mendirikan rumah tangga dengan Datuk Rizal Ashram atau Jejai pada 20 Jun 2006 namun berpisah pada 10 Julai 2008.

Mereka dikurniakan seorang cahaya mata, Putra Rayqal, 15.

Artikel Berkaitan: Tiada Kaitan Dengan Orang Ketiga, Nora Danish Akui Rumah Tangga Bergolak – “Buat Masa Ni, Lebih Baik Tinggal Berasingan”

Sumber: Berita Harian

Aqilah Paharuzi