Elizabeth Tan Masih Berjumpa Pakar Psikiatri & Makan Ubat, Rancang Kembali Menyanyi Tahun Depan

Penyanyi dan pelakon, Elizabeth Tan mendedahkan dia sudah beberapa tahun berjumpa pakar psikiatri disebabkan penyakit ‘anxiety’ yang dialaminya.

Menurut Elizabeth atau lebih mesra dipanggil Lizzy, penyakit itu merupakan punca dia membuat keputusan untuk berehat daripada menyanyi dan menolak tawaran persembahan pentas.

“Sebenarnya saya berehat daripada nyanyian sebab masalah itu timbul bila kena menyanyi atas pentas. Empat ke lima tahun saya tak ambil mana-mana tawaran persembahan.

“Saya berjumpa pakar psikiatri dan ia sangat teruk pada saya. Saya fikir saya terlalu banyak bebankan diri sendiri dengan tekanan. Saya cuma mahu tenang dan enggan ambil serius mengenai diri sangat.

“Sekali-sekala saya berjumpa balik dengan pakar psikatri. Saya sebenarnya ada mengambil ubat. Bila ubat habis, saya datang balik,” katanya semasa ditemui di sidang media siri adaptasi Viu Original, W: Two Worlds, di Kuala Lumpur Convention Centre, hari ini.

Namun, pelantun lagu Knock Knock ini sudah bersedia untuk kembali membuat persembahan dan berharap masih ada mahu melihat dia menyanyi.

“Saya nak buat menyanyi semula untuk kembali bersama peminat. Menyanyi adalah platform untuk berjumpa dengan ramai orang. Saya cuma nak kembali berseronok atas pentas.

“Dulu saya tertekan sangat. Saya kena capai setiap nota (nyanyian) tak boleh nak sumbang langsung. Terlalu teknikal dan saya masih rasa (tekanan). Mungkin itulah buatkan saya ‘down’ sebab kecewa dengan diri sendiri,” jelasnya.

Selepas beberapa tahun fokus dengan lakonan, Lizzy berazam untuk kembali aktif melancarkan lagu bermula pada tahun depan.

“Tahun ini ada satu filem dan dua siri. Tapi tahun depan perancangannya memang fokus kepada lagu. Setakat ini, ada tiga lagu, dua Melayu dan satu Inggeris. Harap-harap kami dapat lancarkannya pada Januari, April, dan Julai (tahun depan),” kongsinya.

Maya Basir