Ernie Zakri Masih Belajar Biasakan Diri Jadi Ibu – “Teruja Bakal Ada Teman Untuk Beli-Belah”

Penyanyi Ernie Zakri akui masih belajar membiasakan diri menjadi ibu kepada puteri pertamanya, Nur Khawla Soleha.

Menurut Ernie, dia berasa teruja apabila Khawla sudah mula memberikan respons kepadanya dan suami, Syamel.

“Saya sudah mula membayangkan nanti bakal ada kawan baik yang boleh teman saya untuk membeli-belah.

“Hari ini genap tiga bulan usia Khawla dan banyak perubahan yang kami nampak, lebih-lebih lagi dia sudah mula berinteraksi. Kadang sekecil-kecil tindak balas yang dilakukan pun sudah buat kami gembira,” katanya.

Selain itu, Ernie turut berkongsi pengalaman menguruskan puterinya selain aktif dengan kerjaya seni.

“Selain aktif dengan kerjaya seni, saya juga sibuk menguruskan anak. Semuanya masih baru dan banyak perkara yang saya masih ‘blur’.

“Pernah sekali bila anak menangis saya terdiam sebab tak tahu nak buat apa walhal sudah memberikan dia susu dan menukar lampinnya. Jadi banyak lagi yang perlu saya belajar untuk menjadi ibu,” katanya.

Menurut Ernie, dia perlu bijak membahagikan masa antara kerjaya dan keluarga kerana dia dan Syamel bekerja dalam bidang yang sama.

“Tidak dinafikan saya dan Syamel kerap dapat tawaran persembahan bersama. Namun Alhamdulillah ada seseorang yang menjaga Khawla di rumah kalau kami keluar bekerja.

“Saya mengupah penjaga yang dikhaskan untuk jaga Khawla saja. Jadi sedikit sebanyak dapat mengurangkan kerisauan saya apabila keluar bekerja,” katanya.

Syamel dan Ernie mendirikan rumah tangga pada 26 Mac tahun lalu dan dikurniakan cahaya mata perempuan pada 22 Februari lalu.

Sumber: Harian Metro

Fatin Nurain