Categories: Hiburan

Faizal Hussein Tak Halang Anak Ceburi Industri Hiburan, Tapi Harus Utamakan Pelajaran – “Ke Mana Tumpahnya Kuah…”

Pelakon senior Faizal Hussein tidak menghalang anak-anaknya untuk menceburi industri hiburan sebagai kerjaya.

Menurut Faizal, darah seni dalam dirinya turut mengalir dalam diri anak-anaknya, Fazryn Faizal, 18 dan Fazrick Faizal, 15, kerana mereka menunjukkan kecenderungan dalam bidang seni.

“Anak mana yang kuahnya tidak tumpah ke nasi, saya pun bukan nak jadi pelakon pun dulu. Tapi hari ini, saya jadi pelakon disebabkan pengaruh bapa,” jelasnya.

Faizal berkata, kedua-dua anaknya telah menerima tawaran untuk berlakon sejak mereka kecil lagi namun dia dan isteri, Suhaila Sulaiman menitikberatkan pendidikan anak-anak.

“Pelajaran perlu diutamakan. Lebih-lebih lagi, isteri saya amat tegas soal pelajaran anak-anak. Sebagai ibu bapa, kami ingin anak-anak menghabiskan pelajaran terlebih dahulu sebelum berkecimpung dalam karier hiburan.

“Sekarang ini waktu belajar, memang saya tak izinkan mereka berlakon. Habiskan belajar dulu,” katanya kepada XTRA.

Bimbang seandainya anak-anaknya terus menceburi industri hiburan tanpa ilmu yang secukupnya, Faizal mengaku gelaran anak seni bukannya mudah kerana perlu menempuh pelbagai rintangan dan cabaran.

“Ilmu yang kurang menyebabkan artis tidak dapat bertahan lama dalm industri ini. Saya telah memberikan persediaan dan pendedahan kepada anak-anaknya sejak kecil lagi untuk menjadi anak seni sekiranya mereka berminat.

“Saya membawa anak-anak ke set pengambaraan untuk melihat secara lebih dekat situasi sebenar di tempat saya berlakon dan mencari rezeki. Setiap majlis penyampaian anugerah, anak-anak turut dibawa sekali untuk memberi pengalaman dan mereka berpeluang merasai keadaan di pentas yang gah.

“Saya rasa tindakan itu dianggap sebagai latihan awal untuk membuka mata anak-anak supaya melihat realiti kehidupan seorang artis. Pendapatan sebagai artis juga berbaloi, jadi saya tidak menghalang anak-anak jika ingin mengikut jejak langkah saya,” katanya lagi.

Sungguhpun begitu, ditanyakan soal keperluan pendidikan untuk menjadi artis, Faizal tidak menafikan bahawa artis haruslah berpelajaran tinggi.

“Pendidikan tidak hanya terhenti setakat tamat persekolahan tetapi perlu terus dituntut hingga ke menara gading. Artis tidak sepatutnya hanya bergantung kepada populariti dan ‘menjual’ rupa semata-mata. Bakat, penampilan diri dan pengetahuan harus seimbang.

“Industri pada zaman dahulu dengan sekarang sudah berbeza. Zaman dahulu tak perlu nak belajar tinggi-tinggi. Sekarang, pelakon terlalu ramai. Jika ada diploma atau ijazah, kita akan kekal relevan dalam industri dan mempunyai kelebihan. Produksi akan pilih,” jelasnya lagi.

Faizal ditemui di set penggambaran drama bersiri Menanti Senja arahan Faizal Nadxaman yang bakal bersiaran di slot Samarinda TV3.

Terbitan Anomali Media & Production, naskhah ini turut menampilkan Sherie Merlis, Johan As’ari, Trisha Ooi, Kodi Rasheed, Natasya Mahyan dan ramai lagi.

Syamir Shafie