Categories: HiburanTrending

Famili Duo 3: Tak Kisah Kalah, Adira & Emma Suhaimi Rasa Nak Menangis Tanggungjawab Dah Selesai – “Kami Lega Sangat-Sangat!”

Pasangan duo adik beradik, Adira & Emma Suhaimi menarik nafas lega usai membuat persembahan di pentas akhir Famili Duo semalam.

Meskipun tidak berjaya menggenggam gelaran juara, mereka bagaimanapun bersyukur kerana telah memberikan persembahan yang penuh bertenaga menerusi lagu hits Pelesit Kota & Bang Bang.

“Kami lega sebab dah habis. Kami punya lega tu sampai tahap tak mengapalah kalau tak menang sebab kami dah all out,” katanya kepada XTRA.

Biarpun terdapat sedikit ralat dalam persembahan, pelantun lagu Ku Ada Kamu dan adiknya tetap berpuas hati sehingga hampir menitiskan air mata.

“Tanggungjawab kami dah selesai, rasa macam nak menangis. Selama 8 minggu banyak benda kami belajar, dapat membuka mata dan minda.

“Macam-macam benda yang terjadi dan banyak benda baru kami cuba. Yang penting apa yang kami berlatih, berjaya kami realisasikan atas pentas,” jelas Emma.

Adira & Emma ditemui XTRA usai persembahan pentas akhir Famili Duo yang berlangsung di Glenmarie, Shah Alam semalam.

Dalam pada itu, Adira berkata, dia tidak mementingkan kejuaraan dalam sesuatu pertandingan.

Baginya, dia menganggap kalah dan menang terletak pada rezeki masing-masing memandangkan kepuasan membuat persembahan itu jauh lebih utama.

Mengulas lanjut berkenaan komen juri, mereka tidak sesekali terasa hati dengan segala kritikan yang diberikan.

“Tak terlintas kami nak terasa hati dengan komen juri. Kalau terasa, dari awal lagi. Sebaliknya, kami membuka ruang untuk dikritik agar kami dapat meingkatkan prestasi persembahan. Kami terbuka dan berlapang dada sahaja,” jelas Adira.

Pasangan duo asal Sabah itu menduduki tangga kedua dengan markah bernilai 60.6 peratus.

Syamir Shafie