Categories: HiburanTrending

Famili Duo 3: Sudah Lali Dengan Kekalahan, Haqiem Rusli Tidak ‘Koyak’ Ditewaskan Pelawak

Penyanyi tersohor, Haqiem Rusli memberitahu dirinya tidak tercabar dengan keputusan pentas akhir Famili Duo yang menobatkan pasangan duo adik-beradik Sharif dan Syaiful ZERO sebagai juara pertandingan realiti televisyen itu.

Sharif dan Syaiful yang dikenali sebagai pelawak dilihat mempamerkan satu persembahan yang menarik serta sarat dengan mesej dan berunsurkan komedi sehingga mampu mencuit hati penonton di studio dan rumah.

Kemenangan mereka adalah berbaloi dengan usaha dan kreativiti yang diketengahkan.

Lagipun, program realiti televisyen Famili Duo tidak hanya menilai vokal dan susunan muzik semata-mata sebaliknya mengambil kira unsur konsep, dinamik, kreativiti dan kelainan dalam persembahan.

Meskipun pelantun lagu Tergantung Sepi itu telah banyak terlibat dalam pelbagai pertandingan dan acara besar, Haqiem bagaimanapun mengakui adat pertandingan mesti akan ada yang menang dan kalah.

“Saya terima keputusan malam ini. Saya juga telah menyertai banyak pertandingan sebelum ini. Banyak kali juga kalah. Dajulu, saya ada join Mentor dan saya tersingkir awal sewaktu peringkat pemilihan protege lagi,” katanya kepada XTRA.

Menyifatkan kekalahan sebagai satu perkara biasa dalam pertandingan, pemenang tempat ketiga Anugerah Juara Lagu ke-36 (AJL 36) menerusi lagu Mimpi itu lebih mengutamakan pengalaman dan ilmu yang ditimba sepanjang program tersebut berlangsung.

“Progam Famili Duo ini banyak membuka mata saya. Saya banyak belajar. Selepas ini, untuk menjayakan sesuatu persembahan, saya akan memikirkan konsep untuk diketengahkan demi menarik perhatian penonton.

“Saya akan mencari penari serta mungkin akan ada babak lakonan sikit menerusi persembahan saya. Saya rasa Famili Duo ni adalah peluang terbaik untuk saya nampak perkara-perkara tersebut,” jelasnya.

Haqiem ditemui XTRA usai persembahan pentas akhir Famili Duo di Glenmarie, Shah Alam semalam.

Menyanyikan lagu Ada Gajah Di Balik Batu serta Beribu Sesalan, Haqiem dan pasangan sepupunya, Ariff Bahran menduduki tangga ketiga dengan kutipan markah sebanyak 58.3 peratus.

Syamir Shafie