Fasha Sandha Bersikap Terbuka Aksi Ranjang Tular, Serah Pada Penonton Buat Penilaian – “Saya Nak Drama Ini Jadi Fenomena”

Pelakon sensasi, Fasha Sandha bersikap terbuka apabila aksi ranjangnya dalam drama bersiri, Rampas Cintaku 2 tular dan menerima pelbagai kecaman.

Memetik laporan Berita Harian, Fasha atau nama sebenar Nur Fasha Sandha Hassan yakin sikap rasional penonton dan membiarkan mereka untuk membuat penilaian.

“Bagi saya, sekarang semuanya kuasa viral dan jika babak itu menjadi kegemaran, kita tidak boleh nak halang sebab mungkin lebih membuatkan mereka tertarik.

“Sebagai pelakon, saya hanya menjalankan tugas mengikut skrip ditetapkan. Lagipun, saya percaya cerita ini ada banyak moral dan pengajaran yang boleh diambil.

“Saya serahkan pada penonton sama ada nak pilih positif atau negatif. Tapi, kalau mereka tak boleh terima, terserah kepada masing-masing.

“Ini kerana mereka mempunyai hak untuk menilai mesej yang ingin disampaikan dalam drama ini,” jelasnya.

Menurutnya lagi, babak yang tular itu memberi impak dalam membantu meningkatkan jumlah tontonan.

“Jika babak tular menjadi sebahagian promosi drama, sekali gus membuatkan impian meraih jumlah tontonan sebanyak 400 juta seperti yang diharapkan tercapai, itu terpulang pada mereka.

“Paling penting, saya nak drama ini hit dan menjadi fenomena sekali lagi,” katanya.

Berkongsi mengenai karakter ‘sugar mummy’ dalam drama tersebut, Fasha memberitahu dia perlu menguruskan badannya untuk musim kedua ini.

“Saya tak sangka drama ini boleh mencetuskan fenomena sehingga mendapat jumlah tontonan 100 juta.

“Saya terasa hati juga bila penerbit drama minta saya kuruskan badan jika drama disambung untuk musim kedua. Rasa seperti terkena ‘body shaming’. Adakah saya tak cantik disebabkan tubuh berisi.

“Tapi, saya bersikap positif dan sahut cabaran untuk kelihatan lebih sihat serta cantik,” ujarnya.

Selain Fasha, drama terbitan MIG Production itu turut dibintangi oleh barisan pelakon hebat seperti Erra Fazira, Zamarul Hisham, Keith Foo, Afieq Shazwan, Puteri Balqis dan ramai lagi.

Rampas Cintaku 2 akan mula disiarkan di platform penstriman iQIYI Malaysia bermula Jumaat ini.

Maya Basir