Categories: HiburanTrending

Pelakon Berbadan Besar Hanya Boleh Melawak? Syanie Minta Pengarah Buang Stereotaip, Beri Peluang Bawa Watak Serius

Pelawak dan pelakon, Syanie Hisham meluahkan hasrat agar diberi kesempatan serta ruang untuk dirinya melakonkan watak lain selain daripada komedi.

Baginya, sungguhpun dia berbadan besar, ia bukanlah penghalang untuk membawa watak-watak serius yang lain.

“Alhamdulillah, watak yang saya bawa dalam siri itu berbeza dan ramai yang puji.

“Kalau penerbit bagi peluang, insya-Allah saya boleh buat. Janganlah stereotaip pelakon badan besar hanya boleh melakonkan watak komedi,” katanya.

Dalam pada itu, Syanie tidak berasa kesal akibat kekurangan tawaran lakonan terhadapnya ekoran sudah tampil dengan imej berhijab.

Syanie yang kini mengusahakan perniagaan memberitahu hanya menerima satu atau dua lamaran untuk berlakon setiap tahun sejak dia mula bertudung pada 2021.

“Selepas bertudung, ada satu atau dua tawaran diterima dalam tempoh setahun. Misalnya, tahun lalu saya terima dua tawaran menjayakan drama bersiri.

“Saya tidak kesal dan tidak kesah sebab sudah berada dalam industri ini sejak 30 tahun lalu,” jelasnya.

Bahkan, Syanie menganggap ramai pengarah menginginkan bakat baharu.

“Mungkin orang hendak tengok muka lain, jadi, saya berikan peluang kepada mereka.

“Memang peminat anggap pelakon lama dan baharu lain. Tetapi, saya cakap mereka kena faham permintaan stesen televisyen (TV) yang mahukan orang baharu, saya okay sahaja,” ujarnya.

Memetik Berita Harian, kali terakhir dia terlibat dalam penggambaran adalah pada Ramadan, tahun lalu menerusi karya Budak Flat yang sedang ditayangkan di platform penstriman.

Dalam perkembangan lain, Syanie giat menjayakan program infak bersama Gagasan Transformasi Anak Seni (GTAS) bagi membantu artis dan golongan memerlukan.

Sumber : BH Online

Syamir Shafie