Fouziah Gous Sedia Bantu Suami

Pelakon Fouziah Gous percaya tanggungjawab untuk mencari rezeki kini bukan lagi terletak dibahu seorang suami semata-mata malah ianya adalah tanggungjawab bersama.

Sudah lama mendiamkan diri dalam bidang lakonan, Fouziah kini giat mengusahakan produk sarang burung sejak beberapa tahun lalu.

Bagi dirinya, dia tidak betah untuk duduk diam tanpa melakukan sebarang kerja, seperti suri rumah.

“Sekarang adalah zaman suami dan isteri sama-sama mencari duit. Ia bukan lagi sekadar tanggungjawab suami kerana isteri juga boleh menggembleng tenaga menambah pendapatan keluarga.

“Kami sendiri tidak berpegang kepada kepercayaan, isteri perlu berada di rumah dan suami harus keluar bekerja. Tiada salahnya untuk isteri turut sama bekerja. Namun, apabila beban kerja bertambah, saya dan suami perlu saling memahami serta bertolak ansur.” Kata Fouziah ketika ditemui di premis perniagaannya di Shah Alam, baru-baru ini

Mendirikan rumah tangga dengan Datuk Mohd Zhafran Md Yusof pada 21 September 2013 dan mempunyai dua cahaya mata lelaki, Muhammad Zeeshan dan Zaheen Yusof.

Menurut Fouziah, komunikasi sangat penting antara suami isteri, terutama apabila kedua-dua pihak memilih untuk mencari rezeki.

“Sebagai isteri, saya kena pandai mengambil hati suami. Begitulah juga sebaliknya. Kalau saya terlalu sibuk bekerja, saya kena minta maaf.

“Namun, saya beruntung kerana suami sangat memahami. Malah, kami saling mengingatkan diri masing-masing mengenai tanggungjawab dipikul, supaya tiada yang terlepas pandang nanti.

“Saya sendiri bukanlah isteri sempurna. Begitupun, dalam apa juga perkara, kita janganlah ambil mudah. Setiap hari adalah proses pembelajaran untuk kita berubah menjadi lebih baik.” Kata bintang Ratu The Movie ini

Selain itu, Fouziah juga sentiasa mencari peluang untuk solat jemaah bersama suami.

“Sekurang-kurangnya, carilah waktu untuk solat berjemaah dengan suami. Kalau merajuk atau marah sekalipun padanya, saya kena salam juga dengan suami selepas selesai solat. Tak kiralah salam dengan muka ‘ketat’ sekalipun, akhirnya solat itu akan melembutkan segala perasaan negatif. Insya-Allah,” katanya.

Sebagai isteri, Fouziah berpendapat golongan isteri pada zaman sekarang perlu mementingkan masa yang berkualiti dengan suami dan anak-anak walaupun hanya seketika.

Ad Ops