Ganti Berlian Harga RM80,000, Dato Vida Diarah Minta Maaf

Usahawan kosmetik, Dato Seri Hasmiza Othman diarahkan menggantikan barang kemas berlian asli kepada penyanyi Aishah.

Dalam sebuah sidang media pagi ini, peguam Aishah mengumumkan anak guamnya diberi hak sepenuhnya memilih barang kemas berlian asli berjumlah RM 80,000 sahaja sebelum 17 Julai 2019.

“ Anak guam saya diberi hak sepenuhnya memilih barang kemas berlian asli tersebut dari sebuah kedai emas yang dipilih oleh Dato Seri Vida di Bangsar Shopping Centre, Bangsar, Kuala Lumpur,” kata peguam, Mohd Izwan Azmi dari firma Tetuan Izwan Mazniza Kamil & Associates.

Tambah beliau, satu penghakiman persetujuan telah direkodkan di hadapan Yang Arif Hakim Dato Che Wan Zaidi Bin Che Wan Ibrahim, yang Arif Hakim Mahkamah Sesyen Sivil 11 Kuala Lumpur.

Dalam masa sama, usahawan kosmetik itu juga perlu membuat permohonan maaf secara terbuka kepada media dalam sebuah sidang media khas sebelum 17 Julai 2019 dengan permohonan maaf spesifik dalam sidang media tersebut.

Selain itu, Dato Seri Vida perlu membayar kos sebanyak RM7500 kepada peguamcara Aishah pada atau sebelum 7 Julai 2019.

Terdahulu, Aishah mendakwa menerima berlian tiruan seleS menjuarai sebuah pertandingan nyanyian, Gegar Vaganza Musim Ke-4 pada tahun 2017.

Dalam pada itu, peguam Aishah turut memberitahu pihaknya sudah mengambil tindakan undang-undang terhadap syarikat Bina Mega Empire yang gagal menyerahkan hadiah sebidang tanah yang dijanjikan.

SGMS Faida