Gaya Cik B Persis Lelaki, Ini Penjelasan DSV – “Imej Sekarang Ini Bukan Suka-Suka…”

Usahawan sensasi, Datuk Seri Vida (DSV) terbuka dengan pendapat orang ramai yang menyifatkan anak perempuannya, Cik B kelihatan ke arah imej seorang lelaki.

Memetik laporan Kosmo, DSV atau nama sebenar Hasmiza Othman bagaimanapun mempertahankan imej rambut pendek anaknya itu adalah disebabkan keadaan rambut yang mudah gugur.

Selain itu, faktor persekitaran Cik B membuatkan dirinya tampil sedikit ‘ganas’ berbanding remaja perempuan lain.

“Mungkin persekitaran Cik B yang ada adik lelaki ganas dan main bertumbuk-tumbuk dengan adiknya membuatkan dirinya seperti apa yang kalian lihat sekarang.

“Cik B juga seorang yang sangat bersikap protective akhirnya menyebabkan dia sedemikian sekarang. Dia jadi macam ‘ganas’ sikit.

“Imej rambut pendek dia sekarang ini bukan suka-suka tapi sebab mudah gugur. Saya sendiri ada potong rambut dia tapi jadi tak elok. Itu yang dia pendekkan terus,” katanya.

Sementara itu, Cik B atau nama sebenar Nur Edlynn Zamileen Muhammad Amin bakal melanjutkan pelajaran ke Amerika Syarikat (AS) walaupun mempunyai impian untuk menjadi penyanyi rap.

“Saya tak kisah kalau Cik B nak jadi penyanyi rap tapi pelajaran nombor satu. Selepas ini, mungkin dia akan sambung pelajaran di AS.

“Saya tak nak dia jadi usahawan macam saya jual produk. Cik B suka bidang teknologi informasi (IT). Tak tahu lagi universiti pilihannya tapi apa dia nak, saya akan cuba usahakan.

“Kalau boleh saya nak dia belajar setinggi yang boleh. Lepas dah dapat ijazah dia boleh pulang ke Malaysia dan buat apa yang dia mahukan.

“Saya akan beri sokongan sepenuhnya asalkan memberi manfaat,” ujarnya.

Maya Basir