Noh Salleh Mohon Maaf Secara Terbuka, Akui Banyak Kecewakan Ramai Orang – “Saya Rasa Dosa Yang Paling Dasyat…”

Penyanyi Noh Salleh menyifatkan Konsert Patah Hati yang berlangsung di Zepp Kuala Lumpur, semalam seakan-akan sama dengan kisah hidupnya.

Memetik laporan Berita Harian, Noh atau nama sebenar Muhammad Noh Salleh memberitahu persembahan tersebut adalah yang istimewa kerana jatuh pada hari jadinya dan ibu bapanya turut hadir beri sokongan.

“Saya ingin mengambil kesempatan pada hari jadi saya ke-38. Saya tahu saya bukan seorang anak baik, banyak mengecewakan mereka (ibu bapa).

“Dalam jutaan orang yang saya patahkan hati dan sepanjang saya menjadi seniman, saya banyak tersalah cakap dengan peminat, wartawan dan bekas teman wanita, tetapi saya rasa paling dahsyat dosa saya patahkan hati orang tua saya.

“Jadi, tolong maafkan dosa saya sebagai manusia yang cuba bertahan di dunia yang penuh kejam ini. Sekali lagi berikan tepukan kepada ibu bapa saya, Dayang Suraya dan Salleh Ibrahim,” katanya sambil menujukan ucapan kepada ibu bapanya.

Pada masa sama, dia tidak menyangka sambutan Konsert Patah Hati luar biasa walaupun diadakan pada hari biasa.

“Nak menjual tiket memerlukan usaha yang sangat tak masuk akal. Bila lihat kehadiran anda semua di sini buat saya fikir penganjur ini hebat.

“Ini hari Rabu bukan hujung minggu, jadi ini menunjukkan bahawa industri muzik Malaysia sihat dan artis Malaysia sudah tahap Blackpink,” ujarnya.

Menerusi konsert itu, Noh membawakan lagu Angin Kencang, Sang Penikam, Bila Aku Sudah Tiada, Kotak Hati dan Aku Skandal.

Maya Basir